Topik diikuti
Pergi ke BHku16 individu, perusahaan pacu masa depan lebih mampan diiktiraf
16 individu, perusahaan pacu masa depan lebih mampan diiktiraf
Seramai 16 individu dan perusahaan telah diiktiraf atas sumbangan mereka terhadap pembangunan mampan dan daya usaha memacu inovasi ke arah masa depan yang lebih hijau dan inklusif di Anugerah Impak Kemampanan 2026 (Anugerah SI) pada 23 September.
Anugerah yang dianjurkan bersama oleh The Business Times (BT) dan UOB itu telah berlangsung di Hotel Shangri-La dan dihadiri tetamu terhormat, Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Encik Heng Swee Keat.
Editor BT, Cik Chen Huifen, berkongsi bahawa Anugerah SI 2026 memaparkan para pemenang yang menonjolkan sifat kepimpinan kemampanan yang sebenar.
“Dengan peningkatan sebanyak 40 peratus dalam penyertaan pada tahun ini, Anugerah SI 2026 menunjukkan peningkatan yang mengagumkan dari segi mutu, kepelbagaian sektor, serta impak keseluruhan yang merangkumi aspek sosial dan alam sekitar.
“Daripada industri yang sukar dikurangkan pelepasan karbonnya kepada syarikat kecil dan sederhana (SME) perintis dan pemimpin berpandangan jauh, para pemenang tahun ini menunjukkan kepimpinan kemampanan yang sebenar,” ujar Cik Chen.
Antara pemenang yang diiktiraf termasuk syarikat Berge Bulk, yang menerima anugerah Perusahaan Impak Tahunan bagi kategori Perusahaan Besar.
Berge Bulk merupakan syarikat perkapalan yang mengendali komoditi pukal kering utama seperti bijih besi, arang batu dan sebagainya.
Menurut kenyataan bersama BT dan UOB, Berge Bulk telah mencapai matlamatnya menjadi neutral karbon pada 2025 menerusi penyelesaian pengubahsuaian, teknologi penjimatan tenaga dan kredit karbon sukarela.
Selain itu, Clean Kinetics, syarikat tenaga yang boleh diperbaharui dan kejuruteraan solar, meraih anugerah Perusahaan Impak Tahunan bagi kategori SME atas usaha memajukan penyahkarbon dengan meluaskan akses kepada tenaga bersih serta mobiliti mampan di seluruh Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Cik Susan Chong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Greenphyto, sebuah firma agroteknologi, pula dinobat sebagai pemenang Pemimpin Impak Tahunan bagi kategori individu.
Cik Chong menunjukkan kepimpinan berwawasan dalam memajukan inovasi ekologi serta memperluas akses kepada makanan.
Beliau merupakan individu di sebalik pembangunan ladang pertanian menegak dalam bangunan, yang tertinggi di dunia, yang diperkenalkan pada Januari 2026 selepas 14 tahun dirancang.
Dalam pada itu, Anugerah Pengiktirafan Khas baharu telah diperkenalkan pada Anugerah SI 2026 di bawah kategori Perusahaan untuk mengiktiraf perusahaan yang telah melaksanakan projek, inisiatif, atau program bermakna yang menyumbang kepada dan menyokong ekosistem kemampanan.
Ia telah disampaikan kepada Ampotech, syarikat teknologi iklim, dan KosmodeHealth Singapore, syarikat pemula teknologi mendalam, bagi kategori SME.
Bagi kategori Perusahaan Besar, Anugerah Pengiktirafan Khas telah disampaikan kepada syarikat penyelesaian pengurusan kuasa dan haba, Delta Electronics Int’l (Singapore), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dan ST Engineering.