Tujuh ladang sayur tempatan akan bekerjasama dengan pembekal borong di Pusat Borong Pasir Panjang bagi meluaskan pasaran hasil keluaran mereka, khususnya kepada syarikat katering dan pengilang makanan.

Tujuh ladang bandar di bawah Persekutuan Perusahaan Agromakanan Singapura (Safef) itu termasuk Yili Farm, MEOD, Metro Farm, Liteleaf dan CropCiti.

Tiga pembekal borong, Lim Thiam Chwee Food Supplier, Thong Hai dan CCL Impex, akan mengedarkan sayur tempatan kepada pelanggan komersial mereka, termasuk penyedia katering dalam penerbangan Sats dan dapur pusat berskala besar.

Kerjasama ini menyasarkan penjualan sehingga 600 kilogram sayur tempatan setiap hari bekerja, kata Ketua Eksekutif Safef, Encik Ken Cheong.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu pada 29 Julai, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata permintaan yang mencukupi akan memberi keyakinan kepada petani untuk meningkatkan pengeluaran.

Encik Zaqy yang juga penaung Safef, berharap kecekapan kos dapat dicapai melalui permintaan berterusan.

Kerjasama itu hasil usaha Safef selama tiga tahun untuk menarik minat pemborong, yang lazimnya memilih import yang lebih murah.

Menurut Encik Cheong, jualan pukal dalam jumlah yang banyak akan membantu ladang tempatan terus bertahan walaupun kadar keuntungan lebih rendah berbanding jualan runcit.

Beliau berkata ladang tempatan perlu dikekalkan sebagai sandaran apabila bekalan sayur luar negara terjejas akibat peperangan, bencana atau kemarau.

“Harga murah boleh membawa padah kepada pembeli jika mereka tidak mengambil kira daya tahan bekalan demi kelancaran operasi perniagaan mereka,” kata Encik Cheong.

Pada awal Julai, The Straits Times (ST) melaporkan sayur tempatan daripada sekurang-kurangnya tiga ladang di sini tidak lagi akan dijual di pasar raya FairPrice.

Keputusan itu, sebahagian semakan produk berterusan FairPrice, menyerlahkan antara cabaran dalam menawarkan produk berbaloi kepada pelanggan di samping usaha negara memperkukuh daya tahan bekalan makanan.

Pengeluaran sayur tempatan meningkat sedikit kepada 16,600 tan pada 2025, berbanding 16,400 tan pada 2024.

Pengurus Thong Hai, Encik Yeo Wei Li, berkata syarikatnya mula mempertimbangkan bekalan daripada ladang tempatan selepas pandemik Covid-19 menjejaskan bekalan dari Malaysia. 

Namun, syarikat itu mengambil masa untuk mengenali petani tempatan, memastikan mutu barangan mereka terjamin dan menjalankan ujian rasa.

Encik Yeo menyasarkan 20 hingga 30 peratus bekalan sayur berdaun tertentu diperoleh daripada ladang tempatan.

Pada 29 Julai, Safef turut mengemas kini usaha meningkatkan jualan runcit dan dalam talian hasil ladang tempatan.

Antara usaha Safef ialah jenama SG Farmers’ Market yang menghimpunkan hasil daripada 14 ladang sayur tempatan, termasuk tujuh yang memeterai perjanjian dengan tiga pembekal di Pusat Borong Pasir Panjang.

Jenama itu kini menawarkan 12 jenis sayur di pasar raya, meningkat daripada lima ketika dilancarkan pada 2024. Menjelang akhir tahun, Safef berharap menambah enam lagi jenis, termasuk lobak putih mini daripada GKE Agritech dan sawi putih daripada Vegeponics.

Encik Cheong berkata peruncit juga lebih menggemari jenama yang menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna. Di bawah jenama SG Farmers’ Market, sebungkus daun salad atau sawi ‘bak choy’ tempatan dijual pada harga $2.

Beliau berkata: “Kos pertanian di Singapura tinggi. Untuk terus bertahan, petani perlu berkembang secara besar-besaran atau gulung tikar.”