Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

16 warga M’sia ditangkap di KL berkaitan kes tipu di S’pura

Jan 24, 2025 | 4:04 PM
Kad waran palsu Pasukan Polis Singapura (SPF) dan dokumen palsu yang digunakan penipu telah dirampas oleh pihak berkuasa. 
Kad waran palsu Pasukan Polis Singapura (SPF) dan dokumen palsu yang digunakan penipu telah dirampas oleh pihak berkuasa.  - Foto SPF

Seramai 16 rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan sebuah sindiket penipuan rentas sempadan, menyebabkan mangsa kerugian lebih $1.4 juta, ditangkap di Kuala Lumpur pada 13 Januari dalam satu serbuan oleh polis Malaysia.

Pasukan Polis Singapura, bersama Polis Diraja Malaysia, bekerjasama untuk menghapuskan operasi tersebut, yang didakwa menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai pemerintah dan nmenyasarkan mangsa di Singapura, lapor The Straits Times.

Dalam satu kenyataan pada 24 Januari, polis menyatakan rakan sejawatan mereka dari Malaysia menangkap suspek penipu itu, berusia antara 24 dan 43 tahun, di sebuah kompleks pejabat.

Mereka menyamar sebagai pegawai bank, biasanya mendakwa mereka wakil daripada DBS, OCBC, UOB, atau Standard Chartered Bank, dan menghubungi mangsa.

Penipu-penipu itu kemudian mendakwa bahawa kad kredit telah dikeluarkan atas nama mangsa, atau bank telah mengesan transaksi mencurigakan atau penipuan dalam akaun bank mereka.

Kemudian panggilan akan dipindahkan kepada penipu lain, yang kali ini menyamar sebagai pegawai pemerintah daripada polis atau Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Dalam beberapa kes, panggilan itu dibuat melalui video, dengan penipu memakai pakaian seperti pegawai polis atau pegawai MAS, di hadapan latar belakang yang memaparkan logo agensi tersebut.

Komunikasi seterusnya akan dilakukan melalui aplikasi mesej seperti WhatsApp, dan bagi mengekalkan penipuan, mereka kadangkala menunjukkan kad waran atau dokumen palsu.

Penipu itu kemudian menuduh mangsa terlibat dalam kegiatan jenayah seperti pengubahan wang haram dan meminta mereka memindahkan wang ke akaun bank yang “ditentukan” oleh pemerintah bagi membantu siasatan.

Antara Januari dan Oktober 2024, sekurang-kurangnya 1,100 kes seperti itu dilaporkan, dengan jumlah kerugian sekurang-kurangnya $120 juta.

Sindiket Malaysia itu dipercayai terlibat dalam lebih 50 kes, dan 16 individu yang ditangkap telah didakwa di mahkamah Malaysia atas tuduhan komplot jenayah untuk melakukan penipuan.

Menyuarakan penghargaan kepada rakan sejawatannya di Malaysia, pengarah Jabatan Ehwal Komersial polis, Encik David Chew, berkata dua pihak itu akan terus bekerjasama untuk “menghapuskan sindiket rentas sempadan yang menyasarkan mangsa dari Singapura”.

Pada separuh pertama 2024, jumlah kerugian akibat penipuan mencapai rekod tertinggi lebih $385.6 juta daripada 26,587 kes yang dilaporkan. 

Angka separuh kedua 2024 belum dikeluarkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg