Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis tumpaskan makmal dadah terbesar di KL, Selangor: 800kg dadah bernilai RM118j dirampas

Jan 20, 2025 | 11:34 AM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, menunjukkan antara 832.9 kilogram dadah bernilai RM118 juta yang dirampas dalam serbuan di makmal dadah dipercayai didalangi sindiket antarabangsa di Selangor dan Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, menunjukkan antara 832.9 kilogram dadah bernilai RM118 juta yang dirampas dalam serbuan di makmal dadah dipercayai didalangi sindiket antarabangsa di Selangor dan Kuala Lumpur. - Foto FACEBOOK POLIS SELANGOR

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan pemprosesan dadah disyaki didalangi sindiket antarabangsa menerusi beberapa serbuan di Selangor dan Kuala Lumpur, pada 16 Januari lalu.

Dalam serbuan itu, sejumlah 832.9 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai hampir RM118 juta ($35.7 juta) dirampas berserta 15 pistol, satu laras sub mesingan dan 900 butir peluru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata dalam serbuan itu, 12 individu membabitkan seorang lelaki warga tempatan, 10 lelaki warga Taiwan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan.

“Serbuan pertama dilakukan pada 2.20 petang di sebuah gudang di Taman Industri Alam Jaya 2, Puncak Alam, Selangor, yang mana lapan lelaki warga Taiwan disyaki berperanan sebagai chemist (ahli kimia) sedang melakukan kerja memproses dadah.

“Pemeriksaan menemukan 306 kg dadah jenis erimin 5; 183.7 kg ecstasy; peralatan memproses dadah dan pelbagai jenis bahan kimia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, pada 19 Januari, lapor Harian Metro.

Datuk Khaw berkata serbuan kedua dilakukan pada 2.30 petang di sebuah premis di Pusat Dagangan Puncak Alam Jaya dengan dua lelaki warga Taiwan dan seorang wanita warga Thailand ditahan.

Katanya, pemeriksaan dalam premis menemui dadah disyaki ketamin seberat 533 gram dan 203 gram erimin 5.

“Susulan tangkapan itu, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Desa Park City, Kuala Lumpur, yang dijadikan stor penyimpanan hasil pemprosesan dadah yang menemukan 310kg dadah disyaki ecstasy; 21.1 kg kokain; 5.2 kg syabu; 3.6 kg heroin; 1.8 kg dadah berasaskan heroin; 0.5 kg ganja dan 0.4 kg ketamin.

“Polis turut menemui 15 pucuk pistol, satu laras sub mesingan dan 900 butir peluru,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Khaw berkata serbuan seterusnya dilakukan pada 2.40 petang yang mana seorang lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai penyelaras ditahan di sebuah rumah di Taman Balakong Jaya, Seri Kembangan, Selangor.

Kata beliau, modus operandi sindiket adalah menjadikan gudang di kawasan perindustrian sebagai tempat pemprosesan dadah dan rumah sewa dijadikan stor penyimpanan.

“Polis percaya sindiket ini mula aktif sejak awal Disember 2024 dan memproses dadah daripada dalam dan luar negara termasuk Jepun dan Kemboja.

“Sumber dadah dipercayai diperoleh daripada negara jiran di utara dan sindiket ini dalam proses untuk mengedarkan dadah berkenaan,” katanya.

Datuk Khaw berkata ujian saringan awal air kencing mendapati tiga lelaki warga Taiwan positif dadah, manakala semakan rekod menerusi Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) mendapati enam suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau antaranya kes dadah, bunuh, jenayah kekerasan dan penipuan.

“Mengenai senjata api, polis sedang melihat daripada pelbagai sudut sama ada ia dibawa masuk ke Malaysia untuk kegunaan peribadi ketika berurus niaga (dadah) atau bagi tujuan lain.

“Polis juga merampas aset dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM1 juta,” katanya.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 17 Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg