Topik diikuti
Pergi ke BHku1,800 peluang pekerjaan sektor penerbangan dibawa ke Pasir Ris
1,800 peluang pekerjaan sektor penerbangan dibawa ke Pasir Ris
1,800 peluang pekerjaan sektor penerbangan dibawa ke Pasir Ris
Sekitar 1,800 peluang pekerjaan sektor penerbangan daripada 22 pertubuhan meliputi bidang operasi lapangan terbang, aeroangkasa, hospitaliti dan runcit telah dipaparkan dalam satu pameran kerjaya di Pasir Ris.
Pameran Kerjaya North East OneAviation 2026 di Pasir Ris Town Square itu dianjur bersama Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Institut Pekerjaan dan Daya Kerja NTUC (e2i), GRC Pasir Ris-Changi dan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East itu berlangsung selama dua hari, dari 24 hingga 25 Julai.
Ini dinyatakan dalam satu kenyataan bersama keempat-empat pertubuhan itu pada 25 Julai.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kewangan dan Pembangunan Negara, Cik Indranee Rajah, yang mengunjungi pameran itu berkata sektor penerbangan Singapura merupakan tonggak utama ekonomi negara serta sumber pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura.
Pameran itu merupakan edisi kedua siri pameran kerjaya penerbangan di peringkat masyarakat yang dianjurkan CAAS tahun ini, bertujuan membawa peluang pekerjaan lebih dekat kepada penduduk, khususnya mereka yang tinggal berhampiran Lapangan Terbang Changi.
Antara 22 pertubuhan yang mengambil bahagian ialah Changi Airport Group, Singapore Airlines, Scoot, SATS, GE Aerospace, Certis Group, SIA Engineering Company, Lotte Duty Free dan Singapore Aero Support Services.
Dalam lawatan itu, Cik Indranee berkata sektor penerbangan akan terus berkembang sejajar dengan pembangunan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi.
“Sektor penerbangan Singapura merupakan tonggak utama ekonomi negara dan sumber utama pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura. Apabila sektor ini terus berkembang dan berubah, termasuk melalui pembangunan seperti Terminal 5, lebih banyak peluang akan muncul dalam bidang penerbangan, kejuruteraan, teknologi, operasi dan pelbagai bidang lain,” katanya.
Tambahan itu, Datuk Bandar Daerah North East, Encik Baey Yam Keng, berkata kerjasama antara agensi pemerintah, industri dan pertubuhan masyarakat membantu memudahkan penduduk meneroka kerjaya serta memahami kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan masa depan.
Pameran itu turut menampilkan tiga ruang pameran bertema yang memberi gambaran mengenai pelbagai fungsi pekerjaan dalam industri penerbangan serta perancangan masa depan sektor tersebut, termasuk pembangunan Terminal 5.