Topik diikuti
Pergi ke BHkuVivian: Kerjasama luar Asean kunci perkukuh daya tahan serantau
Vivian: Kerjasama luar Asean kunci perkukuh daya tahan serantau
Vivian: Kerjasama luar Asean kunci perkukuh daya tahan serantau
MANILA: Kerjasama Asean dengan negara di serata dunia kekal sebagai salah satu kekuatan utama blok serantau ini, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pada 22 Julai.
“Ia telah membantu memajukan kemakmuran bersama, memperkukuh daya tahan kita, serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di rantau ini dan melangkaui rantau lain.”
Demikian kata Dr Balakrishnan dalam satu hantaran di Facebook selepas menghadiri siri sidang pasca-menteri di luar Mesyuarat Menteri Luar Asean di Manila.
Perbincangan bersama rakan dialog Asean merangkumi pelbagai isu, termasuk ekonomi digital, peralihan hijau, daya tahan rantaian bekalan dan hubungan sesama rakyat, tambah beliau.
Selaku penyelaras negara bagi hubungan dialog Asean-Jepun, Dr Balakrishnan turut mempengerusikan bersama Persidangan Pasca-Menteri Asean dengan Jepun bersama Menteri Luar Jepun, Encik Motegi Toshimitsu.
Kedua-dua pihak mengesahkan semula komitmen untuk memperdalam Perkongsian Strategik Menyeluruh Asean-Jepun menerusi kerjasama praktikal.
Mesyuarat tersebut berlangsung sedang menteri luar Asean berinteraksi dengan rakan sejawat dari negara kuasa besar di tengah-tengah persaingan strategik yang kian meningkat di Indo-Pasifik.
Salah satu pertemuan yang mendapat perhatian terbesar di luar mesyuarat tersebut ialah pertemuan selama 90 minit antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, dengan Menteri Luar China, Encik Wang Yi.
Kedua-dua negara bersetuju untuk memastikan hubungan antara mereka kekal stabil menjelang kunjungan yang dirancang Presiden China, Encik Xi Jinping, ke Washington pada September.
Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Encik Rubio berkata perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti bidang kerjasama yang boleh membantu menjadi asas bagi kejayaan sidang kemuncak berkenaan.
Ini meskipun kedua-dua negara mengakui mempunyai “perbezaan besar” berhubung isu melibatkan Taiwan, perdagangan dan isu lain.
“Sejujurnya, ia satu tindakan yang melulu dan tidak bertanggungjawab jika Amerika dan China tidak menjalinkan hubungan, memandangkan kesan (besar) yang dibawa kedua-dua negara terhadap ekonomi global dan dunia,” kata Encik Rubio.
Beliau menambah bahawa kedua-dua pihak sedang berusaha untuk melaksanakan sistem dua hala baharu mengenai perdagangan dan pelaburan yang telah dipersetujui semasa lawatan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, ke Beijing pada Mei lalu.
Dalam ulasannya kepada wartawan, Encik Rubio turut menyentuh mengenai ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan, sambil menyifatkan pertembungan terbaru antara China dengan Filipina di Second Thomas Shoal sebagai “sangat negatif” dan tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Beliau memperkecilkan peranan China dalam permusuhan antara Amerika dengan Iran apabila ditanya sama ada Beijing telah membekalkan maklumat sasaran tentera Amerika kepada Teheran.
Beliau menambah bahawa Beijing telah memberi kerjasama “dalam beberapa keadaan”, terutamanya bantahan terbuka negara itu terhadap sebarang levi atau sekatan ke atas laluan perkapalan global menerusi perairan antarabangsa.
Secara berasingan, kenyataan rasmi China menyatakan kedua-dua pihak bersetuju bahawa pertemuan tersebut pada dasarnya “pragmatik, positif dan membina”.
Namun, Encik Wang turut menggesa Amerika agar menguruskan perbezaan dua hala mereka secara wajar dan menangani kebimbangan China yang sah, menurut kenyataan itu.
Ini sebagai maklum balas terhadap apa yang disifatkan oleh Beijing sebagai siri kenyataan dan tindakan negatif terbaru oleh Amerika.
Profesor Madya Dr Hoo Tiang Boon dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) memberitahu The Straits Times (ST) bahawa mesej positif yang terhasil daripada pertemuan Encik Rubio dan Encik Wang meneruskan usaha penstabilan hubungan antara Amerika dengan China.
“Ia memberi isyarat bahawa kedua-dua pihak, terutamanya Amerika, mahu kunjungan Encik Xi berjaya,” kata Dr Hoo, yang merupakan seorang pakar dalam dasar luar China.
“Masalah yang wujud antara China dengan Amerika telah berakar umbi, dan saya tidak rasa mana-mana pihak mampu menyelesaikannya dalam masa terdekat,” tambah beliau.
“Namun sekurang-kurangnya, mereka kelihatan ingin mewujudkan saluran untuk mengurangkan perbezaan.”
Sementara itu, Encik Rubio turut mengesahkan semula komitmen Amerika terhadap Asean, sambil menyifatkan blok serantau itu sebagai saluran utama Washington untuk berurusan dengan Asia Tenggara.
Beliau turut mengumumkan pelaburan strategik bernilai AS$2.5 bilion ($3.2 bilion) di rantau ini yang merangkumi keselamatan tenaga, prasarana penerbangan, rantai bekalan dan mineral penting.