Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 bekas pegawai Certis dijel terima rasuah lebih $4,000

Oct 21, 2025 | 3:45 PM
Mohamad Aziffi Selamat, Muhammad Khairul Amir Suhaimi, certis
Mohamad Aziffi Selamat (kiri) dan Muhammad Khairul Amir Suhaimi dijatuhkan hukuman penjara dan denda selepas menerima rasuah lebih $4,000 bagi membenarkan kegiatan penyeludupan di Pelabuhan Jurong. - Foto ST

Dua lelaki yang menerima rasuah lebih $4,000 daripada seorang pengendali kren telah dijatuhkan hukuman penjara pada 21 Oktober.

Mohamad Aziffi Selamat, 32 tahun, dijatuhkan hukuman penjara setahun lapan bulan dan diarah membayar denda sebanyak $3,450 kerana gagal mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap seorang lelaki yang menyeludup rokok ke dalam Pelabuhan Jurong.

Muhammad Khairul Amir Suhaimi, 25 tahun, dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan diarah membayar denda sebanyak $600 atas kesalahan serupa, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Kededua lelaki itu mengaku bersalah atas satu tuduhan rasuah serta satu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana membocorkan maklumat penugasan dan butiran operasi mereka.

Aziffi akan menjalani tambahan 15 hari di penjara, manakala Khairul akan menjalani tiga hari lagi di penjara kerana gagal membayar denda, kata mahkamah.

Mereka bekerja sebagai pegawai keselamatan Certis, yang diberi kontrak oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), ketika mereka ditugaskan di Pelabuhan Jurong. 

Tugas mereka antara lain termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang cuba menyeludup barang terlarang ke Singapura melalui pelabuhan itu.

Aziffi bertemu dengan seorang pengendali kren, Muhammad Sukaimi Gasali, 34 tahun, pada 2021 ketika menjalankan pemeriksaan rutin ke atas kenderaan di pelabuhan. 

Sukaimi memberitahu Aziffi dia menyeludup rokok melalui pelabuhan itu dan menawarkan wang jika Aziffi membantunya menjalankan operasi tersebut.

Aziffi bersetuju dan Sukaimi menjalankan operasi penyeludupan sebanyak 36 kali antara Jun 2021 dengan Jun 2022.

Pengendali kren itu mempunyai perjanjian serupa dengan Khairul, yang dia temui pada awal 2023. 

Pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa akibatnya, Sukaimi berjaya menyeludup rokok sebanyak empat kali pada 2022, antara 16 Mac dengan 16 Mei.

Aziffi dan Khairul ditangkap pada Ogos 2024.

Kes Sukaimi masih dibicarakan di mahkamah.

Bagi kesalahan berkongsi maklumat sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi, pesalah boleh didenda hingga $2,000 dan dipenjara sehingga dua tahun.

Bagi menerima rasuah, pesalah boleh didenda hingga $100,000, dipenjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya, di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg