Seorang pegawai penjara akan merasai sendiri hidup di sebalik jeriji besi, selepas dipenjara kerana membantu seorang banduan menyeludup barangan terlarang seperti ubat-ubatan dan gambar lucah ke dalam Kompleks Penjara Changi.
Pada 9 Oktober, Mohammad Asri Abd Rahim, 39 tahun, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan.
Banduan yang dibantunya, Mohamad Yusof Kasim, 50 tahun, turut dipenjara 10 bulan.
Mereka mengaku bersalah pada 5 September terhadap pelbagai pertuduhan melibatkan rasuah, yang berlaku selama hampir setahun, dari Ogos 2021 hingga Jun 2022.
Asri, yang kini digantung tugas, turut diperintahkan membayar denda $3,700 – iaitu jumlah rasuah yang diterimanya daripada Yusof melalui rakan banduan tersebut.
Salah seorang rakan tersebut ialah Murali Vigneshwaran, 36 tahun, yang berkenalan dengan Yusof di penjara dan membantu menyerahkan rasuah itu kepada Asri selepas dia dibebaskan pada Disember 2021.
Pada 9 Oktober, Murali dijatuhi hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah pada 5 September terhadap pertuduhan berkaitan rasuah, lapor The Straits Times (ST).
“Daripada belajar memperbaiki diri dan menjalani pemulihan, mereka sebaliknya kembali melakukan kesalahan, malah menyogok Asri,” kata Hakim Daerah Ng Cheng Thiam mengenai Yusof dan Murali, yang hadir di mahkamah melalui pautan video.
“Tertuduh telah menjejas kepercayaan dan kewibawaan (orang ramai) terhadap institusi awam, iaitu Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).”
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Andrew Chia memberitahu mahkamah Asri telah menyertai SPS pada April 2012.
Yusof, juga dikenali sebagai ‘Kimo’, merupakan seorang Atendan di Unit Pembetulan (CUA) yang membantu Asri.
CUA adalah banduan yang ditugaskan membantu dalam pengurusan kerja rumah dalam penjara dan menerima elaun, yang boleh digunakan untuk membeli barangan seperti snek di dalam penjara.
Menurut DPP Chia, dari awal 2021 hingga Ogos 2021, Asri mula membawa masuk pil gabapentin – sejenis ubat penahan sakit yang boleh disalah guna – untuk CUA di bawah kendaliannya sebagai ganjaran kerana membantunya menguruskan banduan lain.
Asri akan menyerahkan pil tersebut kepada Yusof untuk diagihkan kepada CUA lain, namun tidak menerima sebarang wang sebagai balasan.
DPP menambah: “Pada Ogos 2021, Yusof menghubungi Asri. Yusof mencadangkan jika Asri sanggup menyeludup barang terlarang ke dalam Penjara Changi untuk para banduan, dia bersedia membayar Asri atas khidmatnya.”
Asri pada mulanya teragak-agak, namun akhirnya bersetuju dengan usulan Yusof.
Asri membuat perjanjian dengan Yusof bagi membantu menyeludup barangan tersebut melalui kawalan keselamatan penjara, dan diberikan wang sebagai imbalan.
Melalui surat elektronik yang dihantarnya kepada orang di luar penjara, Yusof menyuruh rakannya, termasuk Murali, untuk menyerahkan barangan terlarang tersebut kepada Asri.
Sekitar Jun 2022, Asri memberitahu Yusof dia ingin menamatkan perjanjian itu.
Namun sebelum mereka sempat berbuat demikian, pegawai SPS menyerbu sel Yusof kerana disyaki memiliki barang terlarang.
Bagi setiap pertuduhan rasuah, Asri boleh dikenakan denda sehingga $100,000, dipenjara sehingga lima tahun, atau kededuanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg