Dua lelaki, berusia 30 dan 42 tahun, ditangkap pada 19 Jun kerana disyaki mencuri sebutir berlian bernilai lebih $235,000.

Dalam satu kenyataan pada 20 Jun, polis menyatakan mereka telah menerima panggilan bantuan di Kreta Ayer Road di Chinatown sekitar 3.40 petang, 19 Jun, selepas berlian itu dicuri dari sebuah kedai barang kemas.

Pegawai daripada Divisyen Polis Central dan Pusat Markas Operasi Polis berjaya mengenal pasti identiti kedua-dua lelaki itu menerusi siasatan susulan, pertanyaan di lapangan, serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera polis.

Kedua-dua lelaki itu kemudian ditangkap di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 19 Jun, manakala berlian yang dicuri berjaya ditemukan semula dan dirampas sebagai bahan bukti kes.

Siasatan awal menunjukkan kedua-dua lelaki itu – yang kewarganegaraan mereka tidak didedahkan oleh polis – telah menunjukkan minat untuk membeli berlian tersebut semasa berada di kedai barang kemas berkenaan.

Ketika kedua-dua lelaki berkenaan sedang memeriksa berlian itu, mereka telah menukarkannya dengan sebutir berlian tiruan.

Mereka kemudian meninggalkan kedai tersebut tanpa membeli apa-apa.

Pembantu kedai mula berasa curiga, lalu mendapati berlian tersebut telah ditukar dengan berlian tiruan selepas melakukan pemeriksaan. 

Kedua-dua lelaki itu dijadualkan didakwa di mahkamah pada 20 Jun atas tuduhan mencuri.

Jika disabit kesalahan, setiap pesalah berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Dalam kenyataan itu, pihak polis menegaskan mereka “tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan jenayah sedemikian dan akan berusaha sebaik mungkin untuk memberkas pesalah serta menahan mereka mengikut undang-undang”.

“Pihak polis juga ingin mengingatkan semua pemilik kedai yang menjual barangan mewah supaya berwaspada terhadap modus operandi serupa dan berhati-hati dengan kecurian sedemikian yang melibatkan taktik licik menggunakan tangan.”