Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 maut dalam kebakaran di bangunan perusahaan Kaki Bukit

Sep 19, 2024 | 7:09 PM
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dimaklumkan mengenai kebakaran di 25 Kaki Bukit Road 4, pada 12.55 tengah hari. Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati api sedang marak di sebuah unit di tingkat lima bangunan tersebut.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dimaklumkan mengenai kebakaran di 25 Kaki Bukit Road 4, pada 12.55 tengah hari. Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati api sedang marak di sebuah unit di tingkat lima bangunan tersebut. - Foto FACEBOOK SCDF

Dua lelaki maut menyusuli kebakaran di sebuah bangunan perusahaan Kaki Bukit pada 19 September.

Dalam satu hantaran di Facebook, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan, ia dimaklumkan mengenai kebakaran di 25 Kaki Bukit Road 4 itu pada 12.55 tengah hari.

Anggota bomba dari Balai Bomba Paya Lebar dan Balai Bomba Tampines yang tiba di tempat kejadian mendapati api sedang marak di sebuah unit di tingkat lima bangunan tersebut.

Dua orang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah unit bertentangan unit yang terbakar.

Pegawai khidmat perubatan kecemasan SCDF memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) ke atas kededua mangsa tersebut sebelum membawa mereka ke Hospital Besar Changi (CGH), lapor The Straits Times (ST).

ST difahamkan dua lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia.

Menurut SCDF, seluruh lantai unit itu diselubungi asap dan api dipadamkan dengan menggunakan dua jet air.

Punca kebakaran masih disiasat.

Menurut carian Google, bangunan itu, Synergy @ KB, menempatkan beberapa perniagaan kenderaan.

Sekitar 3 petang, ratusan pekerja kelihatan duduk di tepi jalan Kaki Bukit Road 4.

Polis telah mengepung jalan raya yang menuju ke Synergy @ KB.

Seorang pekerja yang enggan dinamakan, berkata beliau melarikan diri dari pejabatnya di tingkat lapan bersama sembilan rakan sekerjanya, termasuk seorang yang sedang hamil lima bulan.

“Apinya besar dan sedang marak di unit itu. Apinya naik ke tingkat enam,” kata pekerja pengedaran kereta itu.

Wanita hamil berusia 26 tahun itu, Cik Sharon Kwek berkata, beliau tidak mengalami sebarang kecederaan dan api berjaya dipadamkan dengan cepat.

Berdasarkan perangkaan tahunan SCDF, pada 2023, terdapat 106 kebakaran melibatkan premis perusahaan, turun 24.3 peratus daripada 140 kebakaran sedemikian pada 2022.

Ia adalah antara 1,954 kes kebakaran yang diuruskan SCDF pada 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg