Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BCA: Kebakaran di Pusat Data Loyang tidak jejas struktur bangunan

Sep 12, 2024 | 5:02 PM
Siasatan awal SCDF menunjukkan bahawa kebakaran berkemungkinan disebabkan oleh isu elektrik di salah satu bilik bateri.
Siasatan awal SCDF menunjukkan bahawa kebakaran berkemungkinan disebabkan oleh isu elektrik di salah satu bilik bateri. - Foto ZAOBAO

Kebakaran yang berlaku di pusat data Loyang pada 10 September tidak menjejas struktur bangunan itu, kata Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA).

Operasi redaman di pusat data Digital Realty di 3 Loyang Way itu masih diteruskan sehari selepas kebakaran, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan BCA dalam satu kenyataan bersama pada 11 September.

Kebakaran tersebut menjejas dua bilik bateri, dua bilik bekalan kuasa dan bilik simpanan peralatan di lantai mezanin tingkat tiga.

Siasatan awal SCDF menunjukkan bahawa punca kebakaran kemungkinan berpunca daripada isu berkaitan elektrik di salah satu bilik bateri, kata kenyataan itu.

Sepasukan kecil pegawai bomba masih berada di tempat kejadian, tambah kenyataan tersebut, untuk memantau keadaan dan menyokong operasi redaman di dua bilik bateri, sementara operasi pemulihan oleh pemilik premis dijalankan.

“Dapatan awal BCA menunjukkan terdapat beberapa kerosakan pada struktur, tetapi integriti struktur bangunan tidak terjejas,” kata kenyataan itu lagi.

Sebagai langkah berjaga-jaga, BCA berkata ia akan mengeluarkan arahan bangunan berbahaya dan arahan penutupan untuk beberapa kawasan di aras 3, 3M dan 4.

Pemilik bangunan dikehendaki melantik jurutera profesional untuk menjalankan penilaian penuh terhadap struktur sebaik sahaja serpihan dibersihkan.

SCDF memulakan operasi memadam api di bangunan itu pada 10 September selepas mendapat makluman kira-kira 8 pagi, lapor The Straits Times (ST).

Kebakaran itu dikaitkan dengan bateri litium-ion yang disimpan di bilik bateri di tingkat tiga bangunan tersebut, dan empat jet pemancut air digunakan untuk mengawal api daripada merebak.

Sistem pemercik juga diaktifkan, kata jurucakap SCDF.

Kira-kira 20 orang berjaya keluar dari bangunan sebelum anggota bomba tiba dan tidak ada kecederaan dilaporkan.

Jurucakap itu menambah bahawa SCDF menggunakan robot pemadam api tanpa pemandu bagi operasi redaman untuk menyejukkan bateri, dan menjangka operasi yang berpanjangan.

Menurut CNA, Digital Realty ialah firma hartanah antarabangsa yang memiliki dan mengendalikan pusat data. Ia mempunyai tiga pusat data di Singapura – dua di Loyang dan satu di Jurong.

W.Media, penerbit teknologi yang memfokuskan pada penyimpanan awan dan pusat data, melaporkan “gangguan ketara” ke atas perkhidmatan yang dihoskan oleh syarikat teknologi seperti Lazada dan ByteDance akibat kebakaran itu.

Alibaba Cloud mengesahkan bahawa perkhidmatannya turut terjejas.

Dalam satu perkembangan pada 1.46 pagi, 11 September, Alibaba berkata bahawa disebabkan oleh penyemburan air daripada operasi memadam api, “bilik pelayan telah mula mengalami takungan dan kebocoran air, menimbulkan risiko litar pintas elektrik”.

“Penutupan kuasa kecemasan telah dilaksanakan untuk salah satu bangunan pelayan di Zon Ketersediaan C Singapura, manakala perkhidmatan rangkaian untuk bangunan lain di Zon Ketersediaan C telah dipulihkan secara beransur.”

Zon ketersediaan adalah lokasi pusat data terpencil yang berbeza dalam infrastruktur pembekal storan awan. Alibaba Cloud mempunyai tiga zon ketersediaan di Singapura.

“Keutamaan kami adalah untuk mengurangkan kesan gangguan dan jurutera kami bekerjasama dengan pelanggan yang terjejas untuk memulihkan perkhidmatan normal secepat mungkin,” kata jurucakap Alibaba Cloud kepada CNA pada petang 11 September.

Setakat 12 September, api sudah dipadam dan SCDF masih memantau situasi kebakaran untuk mencegahnya daripada menyala semula.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg