Dua pekerja diselamatkan setelah gondola yang dinaiki terbalik dan tergantung hampir menegak di luar Raffles City Tower pada 21 Julai.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka bertindak menyelamatkan mangsa dari ketinggian antara tingkat 28 dengan 29 bangunan tersebut sekitar 11.20 pagi, lapor The Straits Times (ST).
“Setibanya di tempat kejadian, anggota bomba segera memeriksa kestabilan gondola, serta keadaan pekerja di dalam gondola,” kata SCDF dalam satu hantaran di Facebook sekitar 2 petang.
Anggota Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart) telah menyediakan peralatan menyelamat di tingkat 29 dan 30.
Gondola kemudian dipastikan selamat dengan tali keselamatan yang utuh sebelum seorang penyelamat Dart turun ke gondola tersebut.
Pekerja yang ketika itu memakai tali pinggang keselamatan kemudian dibawa masuk ke dalam bangunan melalui tingkap di tingkat 29 dan 30, jelas SCDF.
Kedua-dua pekerja telah diperiksa oleh paramedik dan dibawa ke Hospital Raffles dalam keadaan stabil, tambah SCDF.
Seorang jurucakap Raffles City Singapore berkata pemeriksaan awal menunjukkan kedua-dua pekerja tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pekerja-pekerja itu, yang bekerja dengan kontraktor bangunan tersebut, sedang menjalankan kerja rutin apabila berlaku perubahan cuaca secara tiba-tiba pada 11.20 pagi.
Arahan berhenti kerja segera dikeluarkan. Namun, semasa gondola ditarik semula, ia miring ke satu arah.
“Memandangkan keadaan cuaca, adalah tidak selamat untuk meneruskan kerja menarik gondola pada ketika itu. Semua tali sokongan kekal utuh,” kata jurucakap tersebut, menambah bahawa pekerja itu telah dipindahkan ke tempat selamat sekitar 12.30 tengah hari.
Raffles City Tower adalah menara pejabat setinggi 42 tingkat yang merupakan sebahagian daripada Raffles City.
Sebuah kereta polis, ambulans dan trak SCDF dilihat di tempat kejadian, dengan dua lagi kenderaan SCDF diletak di luar Raffles City Tower.
Seorang saksi, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Sam, memberitahu ST beliau sedang meninggalkan bangunan sekitar 11.30 pagi apabila terdengar bunyi dentuman kuat.
Lelaki berusia 30 tahun itu, yang bekerja di tingkat 24, berkata:
“Saya melihat gondola tergantung dan saya mendengar seorang lelaki menjerit dan meminta tolong. Rakan sekerja saya kemudian menghubungi SCDF.”
Seorang pelancong, Encik Jimmy Lin, 30 tahun, berkata beliau berada di Raffles City ketika melihat sekumpulan orang berkumpul di luar bangunan mengambil gambar.
“Saya tertanya-tanya apa yang sedang berlaku, jadi saya keluar untuk melihat,” katanya.
Pintu masuk Raffles City Tower telah ditutup oleh pengawal keselamatan.
Jurucakap Raffles City Singapore berkata gondola tersebut baru sahaja menjalani pemeriksaan keselamatan penuh pada Jun.
“Keselamatan tempat kerja adalah perkara yang sangat penting bagi kami. Kami akan bekerjasama dengan pembekal gondola kami untuk menyiasat punca kejadian ini,” tambahnya.
Antara Februari dengan April 2025, 13 arahan berhenti kerja dan denda berjumlah lebih $375,000 telah dikeluarkan kepada syarikat yang didapati melanggar peraturan yang melindungi pekerja menjalankan tugas di tempat tinggi.
Empat pekerja maut akibat jatuh dari ketinggian pada 2024, daripada sejumlah 43 kematian di tempat kerja.
Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) berkata pada Mac 2025, angka tersebut menunjukkan penurunan paling rendah dalam 10 tahun.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah dihubungi untuk maklumat lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg