Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah mengenakan denda berjumlah $230,100 dan tiga perintah henti kerja selepas menjalankan 514 pemeriksaan tapak dari April hingga Jun.
Dalam hantaran di Facebook pada 14 Julai, MOM berkata pemeriksaan tersebut memberi tumpuan pada keselamatan jentera dalam sektor pembinaan, pengilangan dan marin.
Sebanyak 1,263 keadaan tidak selamat dikenal pasti semasa pemeriksaan itu, lapor The Straits Times (ST).
Antara pelanggaran keselamatan yang ditemui termasuk bahagian jentera berbahaya, seperti bilah gergaji, yang tidak dilindungi dengan betul, sekali gus mendedahkan pekerja kepada risiko kecederaan.
Selain itu, trak angkat-susun (forklift) didapati tidak mempunyai tali pinggang keledar, cermin dan lampu, atau dalam keadaan rosak.
Menurut Laporan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MOM 2024, terdapat 587 kecederaan serius dan 43 kematian di tempat kerja pada 2024.
Antara kecederaan serius yang dilaporkan termasuk kehilangan anggota badan, buta, kehilangan pendengaran serta kelumpuhan, menurut kenyataan MOM.
Dua sektor utama yang menyumbang kepada kecederaan maut dan serius di tempat kerja ialah sektor pembinaan (166 kes) dan sektor pengilangan (125 kes).
Sektor marin mencatat 22 kecederaan sedemikian.
Pada kadar 35.8 kecederaan bagi setiap 100,000 pekerja pada 2024, industri marin, yang mempunyai tenaga kerja yang agak kecil, mencatat kadar kecederaan maut dan serius tertinggi sejak 2018, iaitu 27.8 peratus, menurut laporan tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg