Topik diikuti
Pergi ke BHku2 pelajar Madrasah Aljunied atasi cabaran masa, muncul lulusan terbaik IB
2 pelajar Madrasah Aljunied atasi cabaran masa, muncul lulusan terbaik IB
50 lulusan dirai dalam Majlis Konvokesyen Madrasah Aljunied Al-Islamiah
2 pelajar Madrasah Aljunied atasi cabaran masa, muncul lulusan terbaik IB
Apabila Ahmad Eimran Darwisy Mohammad Suhaimi mengikuti Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) pada 2025, beliau tidak menyangka betapa mencabar proses mengimbangi masa antara dua ijazah berbeza.
Apakan tidak, selain mengikuti IBDP yang memberi tumpuan kepada kombinasi subjek aliran akademik biasa serta Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab, beliau yang berusia 19 tahun juga mengambil program Azhar 2.0 yang menumpukan kepada pengajian ukhrawi.
Di bawah program Azhar 2.0 pelajar mendalami subjek utama Islam seperti Al-Quran, hadith, tauhid, tafsir, fiqh, Bahasa Arab, sejarah Islam, serta Islam dan masyarakat.
Program IBDP dan program Azhar 2.0 diambilnya secara serentak, sepanjang tempoh pengajiannya selama dua tahun di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Eimran mengakui bahawa tuntutan program yang diikutinya begitu intensif, digabungkan dengan tanggungjawab kepimpinan di sekolah, memerlukan pengorbanan besar termasuk berjaga malam dan mengurus pelbagai komitmen serentak.
Menurut Eimran, kejayaan yang diraih bukan sesuatu yang datang bergolek kepadanya.
“Ia satu perjalanan yang penuh liku, banyak cabarannya.
“Kadangkala saya hanya tidur dua hingga tiga jam sahaja, terutama apabila perlu selesaikan tugasan dan pada masa sama menjalankan tanggungjawab harian lain,” kata beliau yang juga bertindak selaku anggota Jawatankuasa Eksekutif Majlis Pelajar.
Atas usahanya yang tidak kenal erti penat, anak sulung empat beradik itu akhirnya muncul sebagai antara pelajar cemerlang dalam program IBDP.
Eimran telah meraih empat anugerah termasuk Anugerah Pengajian Wahid, Anugerah Assiduity, Anugerah Terbaik dalam Subjek dan Anugerah Terbaik dalam Perkhidmatan di Majlis Konvokesyen Madrasah Aljunied Al-Islamiah dan anugerah khas 1447H/2026M.
Beliau berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah di Universiti Al-Azhar di Mesir, di samping memburu ijazah kedua dalam bidang undang-undang atau psikologi di universiti tempatan.
Eimran merupakan salah seorang daripada 50 lulusan di majlis itu yang diadakan di Hotel Furama Riverfront pada pagi 18 April.
Majlis tersebut menandakan pencapaian penting bagi pelajar peringkat Pra-Universiti 2 yang telah menamatkan pengajian mereka dalam bidang akademik dan pengajian Islam.
Acara itu turut dihadiri Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, selaku tetamu kehormat.
Dalam ucapannya, Dr Syed Harun menekankan peranan penting pendidikan Islam dalam membentuk generasi muda bukan sahaja dari segi ilmu, tetapi juga nilai dan akhlak.
“Pendidikan Islam memainkan peranan penting dalam membentuk individu bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan, tetapi juga dengan asas keimanan, nilai dan watak,” katanya.
Dr Syed Harun turut menekankan kepentingan melahirkan generasi asatizah yang bukan sahaja kukuh dalam ilmu agama, tetapi juga mampu menyesuaikan diri dengan perubahan masyarakat.
“Kita perlu terus membangunkan generasi baharu asatizah yang berteraskan ilmu agama, yakin dalam masyarakat majmuk Singapura, dan mampu membimbing masyarakat dengan hikmah dan belas ihsan,” katanya.
Majlis tersebut bukan sahaja meraikan kelulusan pelajar, tetapi turut mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kepimpinan, watak dan khidmat, sejajar dengan pendekatan pendidikan holistik yang diterapkan oleh madrasah.
Seorang lagi pelajar yang turut menghadiri majlis konvokesyen itu ialah Hannah Yusra Rashid yang merupakan ‘valedictorian’, pelajar terbaik yang diminta menyampaikan ucapan salam perpisahan majlis konvokesyen Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Ketika ditemui Berita Harian, beliau juga berkata perjalanannya ke puncak bukan sesuatu yang mudah.
Sebagai seorang pelajar, Hannah, 19 tahun berkata beliau perlu mengharungi dua kurikulum intensif secara serentak di bawah program Azhar 2.0 dan IBDP.
Ketua Majlis Pelajar itu berkata:
“Kadangkala saya rasa agak mencabar mengimbangi masa saya untuk belajar kedua-dua program yang berbeza ini.
“Ada hari saya rasa tertekan juga dengan pelbagai perkara yang saya harus tanggung.
“Tetapi saya rasa sokongan keluarga, cikgu dan rakan-rakan saya membuat perjalanan saya lebih mudah.”
Anak ketiga daripada empat beradik itu berharap dapat melanjutkan melanjutkan pengajian dalam bidang tafsir di Universiti Al-Azhar di Mesir.
