Bagi meningkatkan mutu pendidikan Islam, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan pembangunan profesional untuk asatizah.

Peningkatan kemahiran dan pengetahuan pedagogi guru penting bagi memastikan penyampaian pendidikan bermutu.

Salah satu tumpuan utama latihan ini ialah pembangunan kepimpinan pendidikan, khususnya dalam melahirkan generasi pemimpin madrasah yang berupaya mengimbangi nilai Islam dengan tuntutan pendidikan moden.

PROGRAM SEPENUH MASA EMPAT BULAN

Program Pengurusan dan Kepimpinan Di Sekolah (MLS), yang ditawarkan dua kali setahun oleh Institut Pendidikan Nasional (NIE), menjadi wadah utama bagi pemerkasaan pendidikan asatizah.

Program sepenuh masa selama empat bulan ini direka khusus untuk pemimpin peringkat pertengahan di sekolah dan madrasah.

Ia memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai aspek kepimpinan, pengurusan kurikulum, serta pembangunan budaya pertubuhan (kumpulan nilai, norma, kepercayaan dan amalan yang dikongsi bersama).

Melalui pengalaman pembelajaran yang pelbagai, peserta berpeluang membuat refleksi mendalam dan menggunakan pengetahuan tersebut dalam konteks sebenar di sekolah.

TAJAAN SARJANA PENDIDIKAN BAGI ASATIZAH BERPOTENSI

Muis menaja asatizah berpotensi tinggi untuk melanjutkan pengajian Sarjana Pendidikan di NIE sebagai sebahagian strategi pembangunan bakat sejak 2025.

Kejayaan program ini dapat dilihat melalui salah seorang pesertanya, Ketua Jabatan Bahasa Arab di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Ustaz Mohamad Nasrullah Refa’ie, seorang penerima bantuan program ini.

Beliau menamatkan pengajian di madrasah tersebut pada 2005 dan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar sebelum kembali berkhidmat sebagai pendidik pada 2014.

Beliau menamatkan program MLS pada 2022 dan kini mengikuti pengajian sambilan Sarjana Pendidikan (Kurikulum dan Pengajaran) di NIE.

PENGALAMAN SERTAI MLS BUKA PERSPEKTIF BARU

Ustaz Nasrullah berkata pengalaman mengikuti program MLS membuka perspektif baru tentang kepimpinan pendidikannya.

“Saya mula memahami kepimpinan bukan sekadar membuat keputusan, bahkan melibatkan usaha membina sistem, memperkukuh hubungan sesama pendidik dan juga pelajar, membentuk budaya, serta membangunkan kapasiti pertubuhan dalam menghadapi cabaran yang semakin rumit.

“Antara pembelajaran utama yang memberi kesan kepada gaya kepimpinan saya ialah kepentingan mengurus dan memimpin tenaga pengajar, kurikulum, serta penilaian secara menyeluruh dan bersepadu dalam konteks sekolah,” katanya.

APLIKASI PEMBELAJARAN KE DALAM PENGAJARAN

Keinginan beliau melanjutkan pengajian di NIE lahir daripada kesedaran kepimpinan yang lebih berkesan memerlukan pengukuhan kefahaman tentang teori dan amalan pendidikan.

“Pengajian di NIE membantu saya melihat pendidikan dengan lebih kritikal dan reflektif.

“Saya memahami setiap keputusan dalam kurikulum dan penilaian membawa kesan penting terhadap pengalaman pembelajaran pelajar,” tambahnya.

Dalam peranannya sebagai Ketua Jabatan, Ustaz Nasrullah, turut menerapkan pembelajaran daripada program MLS dengan memberi penekanan kepada kejelasan hala tuju, penyelarasan dalam kalangan guru, serta usaha memberi inspirasi kepada rakan pendidik.

Antara inisiatif yang dilaksanakannya ialah memperkukuh amalan penilaian tempoh pembangunan dan menggalak pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif serta berpusatkan keperluan pelajar.

USAHA MUIS BERI KESAN BESAR

Ustaz Nasrullah menegaskan, usaha Muis dalam membangun pemimpin pendidikan sangat penting kerana ia menyumbang kepada pembinaan ekosistem kepimpinan yang berterusan dalam sektor madrasah.

“Dengan adanya program seperti MLS dan tajaan pengajian lanjutan, kita dapat membina generasi pendidik yang kukuh dalam asas ilmu Islam serta berupaya menterjemahkannya secara kontekstual dan relevan dalam amalan pendidikan.

“Ini akan memastikan madrasah-madrasah di Singapura terus berkembang secara bermakna, selari dengan keperluan semasa tanpa mengabaikan asas dan prinsip yang menjadi terasnya,” ujar beliau.