Topik diikuti
Pergi ke BHku2 penerbangan SIA dibatal, 2 lagi dilencong akibat gangguan trafik udara Britain
Gangguan jejas sistem pemprosesan data penerbangan, ribuan penerbangan terjejas
2 penerbangan SIA dibatal, 2 lagi dilencong akibat gangguan trafik udara Britain
Dua penerbangan Singapore Airlines (SIA) terpaksa dilencongkan, manakala dua lagi dibatalkan pada 8 September, susulan gangguan teknikal yang menjejas perkhidmatan kawalan trafik udara di beberapa lapangan terbang utama di Britain.
Dalam satu kenyataan pada 9 September, SIA menyatakan penerbangan SQ308 dan SQ318 dari Singapura menuju ke Lapangan Terbang Heathrow, London, terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain.
Perkhidmatan kawalan trafik udara Britain (NATS) menyatakan gangguan itu menjejas sistem pemprosesan data penerbangannya, sekali gus menyebabkan ribuan penerbangan di seluruh negara terganggu.
Jurucakap SIA berkata penerbangan SQ308, yang membawa 401 penumpang dan 29 anak kapal, dilencongkan ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris, Perancis.
Kapal terbang Airbus A380-800 itu mendarat sekitar 6.30 petang, iaitu 12.30 tengah malam, pada 9 September (waktu Singapura), sebelum penumpang meneruskan perjalanan ke London melalui jalan darat.
Sementara itu, penerbangan SQ318 dilencongkan ke Lapangan Terbang Munich di Jerman dan mendarat pada 8.09 malam (2.09 pagi, pada 9 September, mengikut waktu Singapura).
Kapal terbang itu membawa 203 penumpang dan 19 anak kapal.
Menurut SIA, mereka merancang menerbangkan kapal terbang Boeing 777-300ER itu dari Munich ke Lapangan Terbang Heathrow, London, “sebaik sahaja kelulusan yang diperlukan diperoleh”.
Susulan lencongan tersebut, SIA berkata penerbangan pulang SQ319 dan SQ321, yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow menuju ke Singapura pada 8 September, terpaksa dibatalkan.
Pelancong kekal berdepan keadaan tidak menentu di lapangan terbang di seluruh Britain bagi hari kedua, dengan lebih 150 penerbangan dibatalkan pada 9 September, akibat gangguan teknikal itu.
Jumlah itu merupakan tambahan kepada 1,300 penerbangan dari dan menuju lapangan terbang di Britain, yang dibatalkan pada 8 September.
NATS akur mereka masih berusaha memulihkan operasi susulan “masalah sistem” yang berlaku.
Menurut laman penjejakan penerbangan secara langsung, FlightRadar24, hampir kesemua penerbangan yang dibatalkan pada 9 September berlaku di Lapangan Terbang Heathrow di London.
Pihak lapangan terbang berkenaan berkata pada lewat 8 September, operasi penerbangan keluar telah disambung semula selepas ketibaan kapal terbang terpaksa digantung buat sementara waktu pada awal hari itu.
Namun, pihak lapangan terbang memberi amaran “gangguan dijangka berterusan”.
Dalam kenyataannya, SIA berkata mereka memberikan bantuan yang diperlukan kepada penumpang terjejas, termasuk penginapan hotel dan pengangkutan darat.
SIA turut membantu penumpang membuat tempahan semula bagi penerbangan sambungan mereka, kata jurucakap syarikat penerbangan itu.
Penumpang dinasihatkan supaya menyemak halaman status penerbangan SIA bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penerbangan masing-masing.
“SIA memohon maaf kepada semua pelanggan yang terjejas atas kesulitan yang berlaku. Keselamatan pelanggan dan anak kapal kami sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Gangguan trafik udara terbaharu itu berlaku menyusuli masalah teknikal pada Julai 2025 yang menyebabkan puluhan penerbangan dari dan ke Britain dibatalkan, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ketua syarikat penerbangan.
Britain turut mengalami kegagalan sistem trafik udara terburuk pada 2023, menjejaskan lebih 700,000 penumpang selepas ratusan penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan.
