PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memperkenalkan langkah kawal selia lebih ketat bagi memperkukuh kecergasan untuk bertugas serta mencegah penyalahgunaan alkohol dan dadah dalam kalangan warga penerbangan.

CAAM memaklumkan langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan integriti sistem penerbangan awam Malaysia terpelihara, terutama yang membabitkan tugas berkaitan keselamatan kritikal.

Pada 7 Ogos, CAAM mengeluarkan Arahan Keselamatan 02/2026 yang memperkenalkan keperluan lebih ketat terhadap kru penerbangan dan kru kabin yang melaksanakan tugas kritikal keselamatan.

“Antara langkah segera ialah syarikat penerbangan Malaysia dikehendaki menjalankan saringan dadah melibatkan 100 peratus kru penerbangan dan kru kabin yang masih aktif dalam tempoh pelaksanaan ditetapkan.

“Pengendali turut dikehendaki meningkatkan saringan alkohol dan dadah secara rambang serta mengejut.

“Saringan segera sekiranya terdapat alasan munasabah untuk mengesyaki seseorang mengalami gangguan akibat pengambilan bahan berkenaan juga dipertingkatkan.

“Malah, proses pengambilan, pengesahan latar belakang dan saringan berkala terhadap petugas yang memegang pas keselamatan juga diteliti,” menurut CAAM dalam kenyataannya, lapor Harian Metro.

Menurut agensi itu lagi, pengendali juga perlu menjalankan semakan menyeluruh terhadap Program Ujian Alkohol dan Dadah (ADTP), penilaian risiko keselamatan berkaitan penyalahgunaan alkohol dan dadah serta mengemukakan pengisytiharan pematuhan, keputusan ujian dan pelan tindakan pembetulan kepada CAAM.

“Keperluan ini disokong menerusi pengawasan CAAM yang dipertingkatkan menerusi pemantauan berasaskan risiko, pemeriksaan secara mengejut dan audit khusus bagi memastikan pelaksanaan keperluan ujian alkohol dan dadah dipatuhi.

“CAAM juga akan membuat pengesahan terhadap rekod ujian dan boleh mengarahkan ujian tambahan sekiranya terdapat kebimbangan berkaitan keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Kabinet Malaysia meluluskan 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu-pintu masuk antarabangsa negara.

Ia menyusuli beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara, termasuk penahanan juruterbang Malaysia Airlines di Indonesia kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Datuk Norazman Mahmud, menerusi kenyataan sama berkata langkah diambil itu mencerminkan pendekatan proaktif CAAM dalam menangani risiko baharu serta memperkukuh perlindungan keselamatan di seluruh sektor penerbangan.

“Kesemua langkah ini memperkukuh aspek pengesanan dan pematuhan, selain memupuk budaya yang menjadikan kecergasan untuk bertugas sebagai komponen asas keselamatan penerbangan,” katanya.