Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 projek terakhir BTO yang tertangguh kerana Covid-19 siap dibina

Jan 20, 2025 | 8:51 PM
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, melawat sekitar estet kejiranan Punggol Point Cove pada 20 Januari.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, melawat sekitar estet kejiranan Punggol Point Cove pada 20 Januari. - Foto ST

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah menyelesaikan kesemua 92 projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang tertangguh akibat pandemik, dengan dua projek terakhir pembangunan Punggol Point Cove dan Kempas Residences ditamatkan pada Januari 2025. 

HDB berkata pada 20 Januari bahawa ia berada di landasan yang betul untuk menyelesaikan pembinaan sekitar 17,000 flat baru, merentasi 27 projek pada 2024.

Secara keseluruhannya, lebih 75,800 flat tertunda akibat pandemik Covid-19 telah siap dibina dalam tempoh lima tahun sejak 2020, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, sewaktu ditemui media pada 20 Januari. 

Meskipun pandemik tersebut mungkin sudah lama berlalu bagi kebanyakan orang, Encik Lee berkata sektor binaan telah mengalami kesan jangka panjang pandemik itu.

“Ia (Covid-19) adalah tempoh yang lama bagi sektor binaan. (Cabaran termasuk) terhentinya pekerjaan, impak kepada rantaian bekalan, proses kerja, kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos yang perlu dihadapi pemaju sektor awam seperti HDB serta kontraktor dan konsultan.

“Dengan kerja keras semua pihak dalam ekosistem binaan, kita akhirnya dapat menyelesaikan semua projek BTO HDB yang tertunda akibat Covid-19,” jelasnya selepas meninjau Punggol Point Cove.

Kemajuan projek fasa dua BTO di Punggol Point Cove itu terganggu di tengah-tengah pandemik kerana kerja binaan terhenti semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan pada 2020, jelas HDB dalam kenyataannya.

Kontraktor projek tersebut, Qingjian International (South Pacific) Group Development, mengambil alih pada Ogos 2023 selepas perkhidmatan kontraktor asal, CKR Contract Services, ditamatkan pada Julai 2023, akibat gagal mencapai sasaran yang diperlukan berulang kali.

Menjawab soalan media mengenai langkah-langkah yang diambil untuk mengelakkan kelewatan projek BTO akibat tamatnya khidmat kontraktor, Encik Lee menjelaskan bahawa pihak berkuasa telah melaksanakan pelbagai langkah dalam mengurangkan kejadian sedemikian.

Ini termasuk bantuan kewangan yang diberikan kepada syarikat binaan bagi menangani kesan Covid-19.

Encik Lee berkata: “Namun malangnya, ia berlaku dari semasa ke semasa dan jika kita mengambil kira impak meluas Covid-19 pada sektor binaan, ini adalah perkara yang kita harap tidak akan berlaku.

“Tetapi ia sudah berlaku dan kita ingin memastikan kita dapat terus mengambil pengajaran daripadanya.”

Langkah baru yang diambil termasuk penyelarasan lebih ketat antara agensi, kontraktor dan konsultan, pemantauan lebih rapi terhadap kerja binaan dan lebih banyak pendigitalan untuk mengesan kemajuan kerja binaan dan mengatasi kesukaran.

Pihak berkuasa juga telah mendorong untuk meningkatkan daya penghasilan melalui penyeragaman – seperti pembinaan bersepadu dan hab prafabrikasi – serta robotik dan automasi lebih besar, tambahnya.

Terletak di New Punggol Road, fasa dua projek BTO Punggol Point Cove itu terdiri daripada 1,179 unit flat fleksi 2 bilik, 3, 4 dan 5 bilik, merentasi enam blok kediaman.

HDB berkata: “Pada 15 Januari, 657 isi rumah, sekitar 59 peratus daripada 1,109 unit yang ditempah, telah mengambil kunci mereka dan beberapa penduduk telah berpindah.”

Dengan Punggol Point Cove, ketiga-tiga projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di Daerah Digital Punggol (PDD) telah selesai.
Dengan Punggol Point Cove, ketiga-tiga projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di Daerah Digital Punggol (PDD) telah selesai. - Foto SURBANA JURONG CONSULTANTS

Pemilik flat di Kempas Residences pula mula mengambil kunci mereka pada pertengahan Januari, selepas blok pertama siap pada Disember 2024.

Dengan blok terakhir dalam dua projek itu siap pada Januari, baki pemilik flat akan dimaklumkan untuk mengambil kunci mereka.

Pada 15 Januari, sebanyak 27 isi rumah, sekitar 7 peratus daripada 555 unit yang ditempah, telah mengambil kunci, tambah HDB.

Blok terakhir Kempas Residences di Kallang/Whampoa telah siap pada pertengahan Januari 2025 berikutan kelewatan selama enam bulan.
Blok terakhir Kempas Residences di Kallang/Whampoa telah siap pada pertengahan Januari 2025 berikutan kelewatan selama enam bulan. - Foto KWAN YONG CONSTRUCTIONS PTE LTD

Menurut Encik Lee, HDB menyiapkan 22 projek yang menyediakan lebih 18,000 flat pada 2024. 

Daripada jumlah projek itu, 17 telah ditangguhkan akibat pandemik dan satu projek, Kampung Harmony @ Bukit Batok, ditangguhkan akibat perubahan dalam kontraktor.

Sepanjang lima tahun lalu semasa tempoh Covid, HDB menyiapkan sekitar 80,000 flat di mana kira-kira 75,000 daripadanya adalah projek tertunda COVID.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg