Sekitar 19,600 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dilancarkan pada 2025 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa untuk menangani permohonan rumah yang berlebihan akibat pandemik Covid-19.
Flat-flat ini adalah sebahagian daripada lebih 50,000 unit yang bakal dilancarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dari 2025 hingga 2027.
Angka tersebut, yang didedahkan oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dalam satu wawancara media pada 13 Januari, bermakna pihak berkuasa telah melancarkan sekitar 102,300 flat baru dari 2021 hingga 2025.
Ini melebihi sasaran yang melangkaui 100,000 flat.
Sementara itu, Encik Lee berkata pemerintah “tidak keberatan” untuk melaksanakan langkah-langkah kawalan tambahan pada pasaran hartanah jika perlu.
Beliau menambah bahawa waktunya belum tiba untuk menarik balik langkah-langkah yang telah dilaksanakan bagi menstabilkan harga hartanah.
“Kami tidak keberatan untuk melaksanakan langkah-langkah baru jika perlu, kerana kami perlu memastikan bahawa tiada gelembung (keadaan ketika harga atau nilai suatu aset meningkat pesat melebihi jangkaan) hartanah, sama ada di sektor hartanah swasta atau perumahan awam,” katanya.
Harga flat jual semula HDB meningkat sebanyak 9.6 peratus pada 2024, lebih tinggi daripada peningkatan 4.9 peratus yang dicatatkan pada 2023.
Bagi pasaran perumahan swasta, harga rumah meningkat sebanyak 3.9 peratus pada 2024.
Kadar itu lebih perlahan berbanding kenaikan 6.8 peratus pada 2023.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengawal harga, baik di pasaran jual semula HDB mahupun hartanah swasta.
Encik Lee berkata lebih 100,000 flat baru akan memasuki pasaran yang akan menambah jumlah bekalan perumahan.
Ini termasuk 3,800 flat pada 2025 yang mempunyai masa menunggu lebih pendek iaitu kurang tiga tahun.
Sebanyak 5,000 flat BTO dan baki 5,500 flat juga bakal dijual mulai Februari 2025 dan menurut HDB adalah jualan terbesar untuk flat-flat ini setakat ini.
Encik Lee juga memberikan perkembangan terbaru mengenai langkah-langkah yang dilaksanakan di pasaran BTO, termasuk membantu pemohon kali pertama mendapatkan flat BTO mereka.
Pasangan ibu bapa kali pertama dan pasangan yang telah berkahwin akan terus mempunyai peluang tinggi untuk menempah flat BTO di bawah kategori Pemohon Kali Pertama ibu bapa dan pasangan suami isteri atau FT(PMC).
Di bawah kategori ini, sekitar 90 peratus daripada golongan ini yang memohon flat empat bilik atau lebih kecil di estet bukan matang telah dipelawa untuk menempah flat dalam sesi jualan BTO yang selesai.
Untuk layak di bawah kategori FT(PMC), pemohon mesti memenuhi syarat berikut:
(a) Keluarga dengan sekurang-kurangnya seorang anak warga negara Singapura berusia 18 tahun ke bawah, atau pasangan berkahwin berusia 40 tahun ke bawah;
(b) Tidak pernah memiliki atau menjual hartanah kediaman sebelum ini;
(c) Tidak pernah mendapat peluang untuk menempah flat BTO/SBF dalam tempoh lima tahun.
“Matlamatnya adalah bagi membantu pembeli rumah sebenar, terutamanya pemohon pertama kali – mendapatkan rumah untuk mereka,” kata Encik Lee.
Encik Lee berkata, selepas 2027, pemerintah akan mengkaji permintaan untuk rumah sebelum memutuskan jumlah flat yang akan dilancarkan seterusnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg