Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 wanita ditahan selepas curi di ruang transit Lapangan Terbang Changi

Jun 9, 2025 | 5:22 PM
curi, lapangan terbang changi
Insiden kecurian itu didakwa berlaku di ruang berlepas transit Terminal 3 Lapangan Terbang Changi. - Foto ST

Dua wanita yang sedang transit di Lapangan Terbang Changi telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes kecurian di beberapa kedai berbeza.

Dalam satu kenyataan pada 9 Jun, polis memaklumkan mereka menerima laporan berhubung satu kes kecurian yang disyaki berlaku di kedai jenama Furla di kawasan transit pelepasan Terminal 3 pada 2 Jun sekitar 2.25 petang.

Sebuah dompet didakwa dicuri, dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pegawai daripada Bahagian Polis Lapangan Terbang telah mengenal pasti dan menemui dua wanita terbabit dalam masa sejam, lapor The Straits Times (ST).

Wanita berusia 29 dan 30 tahun itu, kededuanya warga India, telah ditahan sebelum sempat meninggalkan negara ini.

Dompet yang dicuri itu ditemui pada wanita yang lebih muda, manakala beg galas berwarna hitam serta botol minyak wangi – yang juga dipercayai dicuri berdasarkan siasatan awal – ditemui dalam bagasi wanita yang lebih tua.

Beg galas berwarna hitam dan botol minyak wangi ditemui dalam bagasi salah seorang daripada wanita tersebut.
Beg galas berwarna hitam dan botol minyak wangi ditemui dalam bagasi salah seorang daripada wanita tersebut. - Foto SPF

Nilai ketiga-tiga barangan yang dirampas dianggarkan berjumlah $635.

Kedua-dua wanita itu dijangka dihadapkan ke mahkamah pada 10 Jun atas tuduhan mencuri di kediaman.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau kededuanya.

“Pihak polis akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dan masyarakat untuk mencegah dan menghalang kes kecurian di kedai,” menurut kenyataan itu.

Kes kecurian di kedai yang dilaporkan sebelum ini di Lapangan Terbang Changi berlaku pada Mei, apabila seorang lelaki warga Britain ditahan kerana disyaki mencuri barangan bernilai lebih $2,900.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg