Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis luar waktu tugas bantu tahan pencuri dalam penerbangan

Jun 5, 2025 | 4:34 PM
Imran Mohd Hajar, kecurian, pesawat, Scoot
Inspektor Imran Mohd Hajar, 47 tahun, daripada Pusat Polis Kejiranan Jurong East (NPC), telah membantu menahan dua lelaki dalam kes kecurian dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Singapura. - Foto BH oleh SITI HAJAR ZAINUDDIN

Apa yang bermula sebagai satu penerbangan biasa pesawat Scoot dari Kuala Lumpur ke Singapura bertukar menjadi satu kes jenayah selepas seorang penumpang yang prihatin, melaporkan perkara mencurigakan dalam pesawat.

Inspektor Imran Mohd Hajar, 47 tahun, Timbalan Ketua Pasukan daripada Pusat Polis Kejiranan (NPC) Jurong East, Divisyen Clementi, sedang dalam perjalanan pulang bersama isteri dan anak perempuannya selepas bercuti empat hari di Kuala Lumpur, apabila beliau terlihat seorang lelaki menggeledah sebuah beg silang di ruang simpanan dalam pesawat.

Lelaki berusia 35 tahun itu dilihat menggeledah beg tersebut seminit dua sebelum dia dipercayai mengambil beberapa barangan dan memasukkannya ke dalam sebuah beg syarikat penerbangan, kata Inspektor Imran.

Ketika itu, beliau belum pasti siapa pemilik beg tersebut.

Namun, sangkaannya terbukti tepat apabila seorang penumpang wanita mengambil semula beg silang itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Changi.

Inspektor Imran kemudian terlihat lelaki tersebut bersama seorang lagi lelaki berusia 40 tahun di kawasan merokok di ruang transit.

Beliau merakam gambar dua lelaki itu setelah melihat beg syarikat pernerbangan tadi diserahkan.

Setibanya di kawasan pengambilan bagasi, beliau mencari pemilik beg silang tersebut, lalu menyuruh wanita itu memeriksa begnya dengan segera.

Wanita itu mendapati wang tunai serta dua kad debitnya telah hilang.

“Dia sangat terkejut dan trauma, namun isteri saya berjaya menenangkannya,” kata Inspektor Imran ketika ditemui di Ibu Pejabat Pasukan Polis Singapura (SPF) di New Phoenix Park.

Pasangan itu kemudian membawa wanita itu bertemu pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk membuat laporan.

Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar 8.50 malam pada 2 Jun, dan siasatan segera dijalankan.

Pegawai daripada Bahagian Polis Lapangan Terbang berjaya mengenal pasti suspek dan menahan salah seorang daripada mereka di ruang rehat di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi.

Dua kad debit milik mangsa ditemui dibuang di dalam tong sampah di kawasan yang dilintasi lelaki tersebut sebelum ditahan.

Dua warganegara Cina, Wang Wei, 40 tahun, dan Liu Xitang, 35 tahun, telah didakwa di mahkamah pada 4 Jun atas tuduhan mencuri wang tunai $169 dan dua kad debit daripada penumpang wanita berkenaan.

Ketika ditanya mengapa beliau bertindak walaupun di luar waktu bertugas ketika itu, Inspektor Imran berkata: “Inilah naluri seorang pegawai polis dan kerana rasa tanggungjawab dalam diri saya.”

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap keadaan sekeliling dan menjaga barangan peribadi semasa dalam penerbangan. 

“Dalam penerbangan jarak jauh, kami sekeluarga biasanya bergilir-gilir berjaga demi memastikan barangan kami selamat. Ini salah satu cara terbaik untuk mengelakkan jenayah berlaku dalam pesawat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg