Permit kerja dua pekerja Bangladesh di Singapura telah dibatalkan selepas mereka membuat hantaran berunsur ekstremis di media sosial, dan disiasat oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Julai.

Pada 17 Julai, ISD memaklumkan, Tayani Md Risad, 25 tahun, dan Islam Sahedul, 37 tahun, telah dihantar pulang ke Bangladesh.

Jurucakap ISD berkata kedua-dua mereka disiasat berasingan berhubung hantaran ekstremis di media sosial.

Tayani menyatakan sokongannya terhadap penulis Islamis radikal Bangladesh, Shafiur Rahman Farabi, yang menghasut keganasan terhadap penulis-penulis blog berfahaman sekular dan ateis.

Shafiur juga didakwa mempunyai kaitan dengan Hizb ut-Tahrir, sebuah kumpulan Islamis fundamentalis yang diharamkan oleh pemerintah Bangladesh.

Islam pula membuat hantaran berbaur hasutan mengenai konflik Israel-Iran, selain menyiarkan pandangan agama yang mencetuskan perpecahan, termasuk menganggap umat Islam yang tidak mahu diperintah di bawah undang-undang Islam, sebagai kafir.

Kedua-dua mereka tidak mempunyai kaitan dengan kes ISD sebelum ini, yang melibatkan individu yang terpengaruh dengan fahaman radikal dan diambil tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Jurucakap itu berkata siasatan tidak menemukan petunjuk mereka berniat melakukan serangan pengganas atau terlibat dalam kegiatan pengganasan di Singapura.

“Bagaimanapun, fahaman melampau dan berunsur perpecahan yang mereka pegang bertentangan dengan masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Kedua-dua mereka bekerja dalam industri pembinaan di Singapura.

Media Bangladesh melaporkan, kedua-dua mereka ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka pada 8 Julai, dengan pihak berkuasa merampas tiga telefon bimbit dan tiga pasport.

Pada 9 Julai, mereka dibawa ke mahkamah di Dhaka, apabila pihak berkuasa memohon lanjutan reman.

Polis Bangladesh berkata kedua-duanya mengaku terbabit dengan kumpulan militan ketika berada di Singapura, dan lebih banyak masa diperlukan untuk menyiasat hubungan, rangkaian serta sumber pembiayaan mereka.

Semasa prosiding, Tayani berkata dia ditahan di Singapura kerana hantaran Facebook pada 2023 berkaitan sebuah kumpulan pelampau Hefazat-e-Islam di Bangladesh dan pemimpinnya, lapor akhbar Bangladesh, The Business Standard.

Hakim yang membenarkan reman berkata: “Kamu adalah ‘pejuang kiriman wang’. Mengapa perlu terlibat dalam perkara seperti ini?”

Istilah “pejuang kiriman wang” merujuk kepada mereka yang bekerja di luar negara untuk mengirim wang kepada keluarga di tanah air.

Pada 2020, seorang pekerja pembinaan Bangladesh ditangkap di Singapura selepas didapati terpengaruh dengan fahaman melampau dan berhasrat melakukan keganasan bersenjata.

Dia telah bekerja di Singapura sejak 2017 dan menjadi radikal melalui bahan propaganda kumpulan pengganas Isis dalam talian dan membeli pisau lipat untuk digunakan dalam serangan di negara asalnya.

Pada 2016, ISD menahan lapan warga Bangladesh yang terpengaruh dengan fahaman radikal dalam sektor pembinaan dan maritim.

Mereka menganggotai kumpulan sulit, Islamic State in Bangladesh, memiliki dokumen berkaitan senjata dan pembuatan bom, merancang merekrut pekerja Bangladesh lain, serta mengumpul dana untuk membeli senjata api bagi melancarkan serangan di Bangladesh.

Lima lagi pekerja Bangladesh didapati tidak terlibat dengan kumpulan itu tetapi memiliki bahan berkaitan jihad, telah dihantar pulang.

Pada 2015, seramai 27 warga Bangladesh yang bekerja dalam sektor pembinaan ditahan selepas membentuk sel pengganas untuk berjihad di Singapura sebelum dihantar pulang.

Sesiapa yang mengetahui atau mengesyaki seseorang terpengaruh dengan fahaman radikal diminta menghubungi talian ISD di 1800-2626-473.