Seorang lelaki warga Singapura, Abdus Sattar, didakwa pada 27 Mac, kerana menganjurkan acara di dormitori pekerja migran melibatkan warga Bangladesh yang dikaitkan dengan organisasi pro-Al-Qaeda, Amir Hamza.
Sattar, 51 tahun, didakwa atas tiga pertuduhan; membantu warga asing untuk memberi ceramah agama tanpa pas kerja, menganjurkan perhimpunan awam tanpa permit polis dan menyediakan hiburan awam tanpa lesen.
Acara itu diadakan di Lantana Lodge, Tech Park Crescent di Tuas, pada 9 Ogos 2024, ketika Sattar merupakan pengarah di SBM Electrical & Automation.
Demikian mengikut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 27 Mac.
SBM Electrical & Automation didakwa kerana gagal mengemas kini rekod individu yang bukan penghuni dormitori itu masuk dan keluar sekitar 9 Ogos 2024, lapor The Straits Times (ST).
Kes Sattar dan SBM akan disebut semula di mahkamah pada 24 April.
SPF dan MOM mendakwa Sattar mengundang Amir Hamza dan seorang lagi warga Bangladesh, Ullah Mohammed Neamat, ke perhimpunan agama pada 9 Ogos 2024.
Pendakwa raya mendakwa Sattar menjemput Amir sebagai penceramah serta memudahkan perjalanan dan promosi acara tersebut.
SPF dan MOM dalam satu kenyataan bersama berkata: “Amir didakwa menyampaikan ceramah kepada pekerja migran yang hadir, manakala Ullah pula didakwa mempersembahkan lagu kepada orang ramai.
“SBM pula membenarkan sejumlah besar pekerja asing yang bukan penghuni asrama memasuki kawasan asrama dan menghadiri acara tanpa menyimpan rekod yang betul mengenai kemasukan dan keluarnya mereka dari kawasan itu.”
Amir meninggalkan Singapura sehari selepas acara tersebut.
Polis menerima laporan pada 12 Ogos 2024 tentang Amir yang telah menyampaikan ceramah kepada sekumpulan pekerja migran Bangladesh.
Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), dalam ceramahnya, Amir menyebarkan ajaran pelampau yang berbahaya dan mampu merosakkan keharmonian masyarakat Singapura.
Walaupun Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengetahui latar belakang Amir, dia menggunakan pasport dengan nama berbeza untuk memasuki Singapura pada hari yang sama acara itu diadakan.
Data biometrik Amir tiada dalam sistem Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) kerana ia adalah lawatan pertamanya ke Singapura.
MHA berkata ceramah Amir dipolitikkan apabila dia mengkritik pemerintah Bangladesh yang lalu sebagai “penindas”.
Amir, yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Ansar al-Islam, ditahan di Bangladesh pada 2021, atas kegiatan pengganasan dan menghasut untuk melakukan serangan.
Tiga suspek yang merancang serangan ke atas Parlimen Bangladesh berkata mereka mendapat inspirasi daripada ceramah Amir.
Amir mengaku telah menyalahtafsirkan agama, tetapi menafikan dirinya menghasut serangan.
Dia dibebaskan pada Disember 2023.
Berita mengenai acara haram di Singapura mula tersebar di Reddit pada 12 Ogos 2024, bersama video yang merakam seorang lelaki sedang menyampaikan ceramah kepada kumpulan besar dalam dormitori.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg