Penduduk flat sewa Kampong Chai Chee nikmati iftar, terima baju kurung terpakai
Penduduk flat sewa Kampong Chai Chee nikmati iftar, terima baju kurung terpakai
Sekitar 200 penduduk, sebahagian besarnya masyarakat Melayu/Islam, yang menetap di lapan flat sewa di sekitar kawasan Kampong Chai Chee (KCC), dijamu juadah iftar dan dapat memilih baju kurung terpakai secara percuma sempena âAcara Buka Puasa KCCâ pada 28 Februari.
Ini adalah kali pertama penduduk berhimpun bersama sebegitu dalam Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) yang baru, kata jurucakap Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee, selaku penganjur.
Kampong Chai Chee merupakan salah satu daerah yang diserap masuk ke GRC East Coast dari GRC Marine Parade, menyusuli penyusunan semula sempadan kawasan undi bagi Pilihan Raya Umum 2025.
Menurut Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, acara iftar sebegitu âmenyatukan orang ramai daripada pelbagai latar belakangâ.
Beliau, yang juga Penasihat Akar Umbi kepada Pertubuhan Akar Umbi GRC East Coast, hadir selaku tetamu kehormat bagi acara yang diadakan di City Sprouts @ Bedok itu.
Mengulas lanjut kepada Berita Harian (BH) sebelum menyertai hadirin beriftar, Encik Tan berkata:
âSemasa kita duduk (semeja bersama), berbuka dan berkongsi kisah sesama kita, ia membina kepercayaan dan persefahaman.
âKeharmonian diperkukuhkan melalui detik bersama seperti ini, yang berasaskan nilai saling hormat-menghormati,â ujarnya.
Mentelah bulan Ramadan, kata beliau, mengingatkan masyarakat agar kekal prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik atau yang sedang melalui kesukaran.
âOleh demikian, sifat belas ihsan dan menyumbang kembali ini âmencerminkan masyarakat penyayang yang kita ingin terapkan di Singapuraâ, tambahnya.
Sifat masyarakat penyayang ini jelas terpancar dalam acara itu dengan penglibatan rakan kongsi dan sukarelawan pelbagai bangsa dan latar belakang, kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur bagi acara itu, Encik Mohammad Dzarrin Alidin.
Beliau, yang juga Setiausaha MAEC Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee, berkata sebahagian besar penduduk yang hadir merupakan warga emas dan keluarga muda yang memerlukan bantuan.
Acara seperti itu salah satu cara untuk berinteraksi dengan mereka dan menjalin ukhuwah antara satu sama lain, katanya.
âAcara ini melibatkan kerjasama merentas pelbagai generasi â sama ada yang muda mahupun yang sudah lanjut usia.
âSemua yang hadir hari ini datang dengan niat yang satu, iaitu saling bantu-membantu antara satu sama lain.
âJadi, ini sesuatu yang sangat menyentuh hati saya,â kata beliau.
Salah satu rakan kongsi acara itu merupakan kumpulan sukarelawan belia, MudaSG, yang mengumpul dan menyediakan baju kurung terpakai kepada penduduk yang hadir.
Menukil jurucakap MudaSG, kumpulan itu berjaya mengumpulkan sekitar 4,000 baju kurung terpakai dan akan mengagihkannya ke empat lokasi â salah satunya di Kampong Chai Chee sempena âAcara Buka Puasa KCCâ.
Salah seorang penduduk yang hadir, Cik Rida Ar Rummi, amat terharu dengan daya usaha yang dilakukan kerana nasib golongan sepertinya masih tidak dilupakan dan mendapat tempat dalam masyarakat.
Ibu tunggal empat orang anak lelaki berusia 58 tahun itu berkata: âUsaha sedemikian (seperti acara iftar ini) harus diteruskan agar ia boleh dijadikan contoh.
âBukan sahaja ia dapat merapatkan jalinan antara penduduk, ia turut menyerlahkan semangat ingin menyumbang kembali,â katanya.
Selain juadah berbuka dan pemilihan baju kurung terpakai, penduduk turut diberikan pek habuan berisi keperluan makanan asas lebih sihat sumbangan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

