Kumpulan kariah sudah sedia terima jemaah tarawih
Sebanyak 15,500 ruang solat telah disediakan oleh 46 kariah merata S’pura
Menjelang Ramadan setiap tahun, ruang kolong blok dan dewan serbaguna di kawasan perumahan di seluruh Singapura diubah menjadi ruang solat tarawih melalui usaha kumpulan kariah.
Salah satu kumpulan kariah tersebut adalah Jawatankuasa Kejiranan Islam Simei (JKIS), yang telah menyiapkan ruang solat di kolong blok yang terletak di Blok 116 Simei Street 1.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Pengerusi JKIS, Encik Mohamed Said Ali, 66 tahun, berkata persiapan bagi ruang solat tersebut telah bermula seawal pertengahan Disember 2025.
“Untuk tahun ini, persiapan dimulakan setelah mendapat kelulusan bertulis dari Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk kita menganjurkan solat tarawih, iaitu pada pertengahan Disember 2025.
“Saya usahakan untuk mendaftarkan persetujuan daripada Anggota Parlimen (AP) (GRC East Coast), Majlis Bandaran dan juga mohon permit polis.
“Pada 11 Februari, kita telah mengepung kawasan keliling kolong blok dan pada hujung minggu sukarelawan terus membuat persiapan di sini,” ujar beliau, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Changi-Simei.
Kolong blok di Simei itu dijadikan kariah yang boleh menampung sehingga 1,000 anggota jemaah dan sambutan penduduk setiap tahun amat menggalakkan.
“Bahkan, ada jemaah yang telah berpindah dari Simei dan mereka tetap kembali menunaikan solat tarawih di sini apabila Ramadan tiba,” ujar beliau.
JKIS merupakan antara 11 kumpulan kariah di bawah naungan Masjid Darul Ghufran.
Sementara itu, usaha serupa digerakkan oleh kumpulan kariah Al Ikhsan di Choa Chu Kang.
Kumpulan tersebut mengendalikan ruang solat tarawih di Blok 563 dan Blok 568 Choa Chu Kang Street 52 yang boleh menampung sehingga 520 anggota jemaah secara keseluruhan.
Menurut pengerusi kumpulan kariah tersebut, Encik Jumadin Ahmad, 63 tahun, persiapan mengadakan ruang solat tarawih di situ bermula sekitar dua bulan sebelum Ramadan.
Ini termasuk mengadakan perbincangan tentang kos, pilihan imam dan muazin, serta mendapatkan surat kebenaran dari AP untuk menggunakan dewan serbaguna itu sebagai ruang solat Tarawih.
Kemudian, persiapan dimulakan pagi 15 Februari, termasuk pembentangan tikar, menyediakan sistem bunyian dan memasang kipas angin.
“Selalunya, kita perlukan tiga hari sebelum Ramadan untuk memasang semua kelengkapan, dan yang utama adalah memasang kanvas untuk alas sejadah atau permaidani.
“Tugasan ini dijalankan secara bergotong-royong bersama 14 anggota kami yang terlibat,” kongsi beliau.
Selain memastikan keselesaan jemaah, kariah Al Ikhsan juga berusaha mengeratkan hubungan jiran melalui penggunaan teknologi dan kegiatan masyarakat.
Menurut Encik Jumadin, mereka menyediakan kod QR untuk jemaah yang ingin menyertai kumpulan ‘chat’ jemaah kariah, supaya segala maklumat daripada masjid dapat disampaikan dengan mudah.
“Dari kumpulan ‘chat’ tersebut, kita mempunyai sekitar 100 lebih jemaah yang mengikuti perkembangan kami.
“Kadangkala, kita ada majlis syarahan, biasa dua atau tiga bulan sebelum Ramadan, jadi kita boleh sampaikan maklumat melalui syarahan pada warga emas yang kurang mahir mengunakan telefon bimbit,” ujar beliau.
Kariah Al Ikhsan merupakan antara tujuh kumpulan kariah yang bekerjasama dengan Masjid Al-Khair di seluruh kawasan Choa Chu Kang.
Menyentuh tentang kerjasama kumpulan kariah dan masjid, Ketua (Pentadbiran dan Sekretariat) di Masjid Al-Khair, Ustaz Mohamed Syukri Mohamed Sani, 30 tahun, berkata ia bersifat melengkapi di mana masjid menyokong dari segi tadbir urus, kewangan, pematuhan dan bimbingan keagamaan.
“Kumpulan kariah berperanan sebagai jambatan tambahan antara masjid dan penduduk setempat. Mereka juga memahami konteks, keperluan, dan cabaran masing-masing, sekaligus membolehkan pendekatan yang lebih langsung dan bersifat peribadi.
Dalam pada itu, beliau juga menitikberatkan kedudukan kumpulan kariah dalam memudahkan penduduk menunaikan ibadah, terutamanya bagi warga emas, mereka yang mengalami masalah pergerakan dan juga untuk berjimat masa.
“Pada masa yang sama, ruang solat kejiranan mengukuhkan semangat kebersamaan kerana penduduk dapat beribadah bersama dalam suasana yang lebih dekat dan selesa.
“Hubungan kejiranan menjadi lebih erat, dan pihak penasihat akar umbi juga berpeluang mendekati masyarakat Islam melalui kunjungan serta penganjuran program bersama,” ujar beliau.

