200 penduduk Toa Payoh terima bubur Ramadan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

200 penduduk Toa Payoh terima bubur Ramadan

Mar 1, 2026 | 12:14 AM

200 penduduk Toa Payoh terima bubur Ramadan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Encik Saktiandi (kiri) mengagih makanan kepada benefisiari di bawah inisiatif Pengedaran Bubur dan Juadah Bulan Ramadan Toa Payoh East di Kelab Masyarakat Toa Payoh Selatan pada 28 Februari.
Encik Saktiandi (kiri) mengagih makanan kepada benefisiari di bawah inisiatif Pengedaran Bubur dan Juadah Bulan Ramadan Toa Payoh East di Kelab Masyarakat Toa Payoh Selatan pada 28 Februari. - Foto PEJABAT KAWASAN UNDI TOA PAYOH TIMUR

Seramai 200 penduduk telah menerima bubur dan nasi ayam penyet dalam satu program pengagihan makanan panas di Kelab Masyarakat Toa Payoh Selatan pada 28 Februari, sekaligus menandakan bermulanya siri kegiatan Ramadan sepanjang bulan di Bishan-Toa Payoh dan Marymount.

Inisiatif Pengedaran Bubur dan Juadah Bulan Ramadan Toa Payoh East merupakan antara acara pembuka tirai yang dianjurkan oleh M3@Toa Payoh bersama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).

Ia merupakan sebahagian daripada usaha menghidupkan nilai belas ihsan dan memperkukuh hubungan kejiranan sepanjang bulan suci ini.

Turut menyertai acara pengagihan makanan itu adalah penasihat akar umbi GRO Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh.

Ketika ditemui oleh Berita Harian, Encik Saktiandi yang juga penasihat kepada M³@Toa Payoh, berkata melalui acara seperti ini ia dapat memberi ruang bagi jiran-jiran mendekati dan membantu antara satu sama lain pada bulan yang mulia.

“Semasa bulan yang mulia ini, kami ingin menyemarakkan lagi semangat empati dan menjaga sesama jiran.

“Ramadan bukan hanya untuk satu kumpulan saja tetapi seluruh masyarakat,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa acara tersebut bukan sekadar satu acara tunggal.

Sepanjang tempoh 28 Februari hingga 14 Mac, lebih 1,700 penduduk dijangka menyertai pelbagai acara termasuk sesi berbuka puasa masyarakat dan pengagihan makanan tambahan di beberapa lokasi sekitar Bishan-Toa Payoh dan Marymount.

Antara yang dirancang termasuk sesi berbuka puasa bersama belia daripada blok sewa di Toa Payoh serta kerjasama bersama Mendaki dalam program sokongan kepada kanak-kanak setempat.

Selain pengagihan makanan panas, 50 kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan turut dibawa membeli pakaian Melayu baru sebagai persiapan Hari Raya dalam satu acara membeli-belah di Joo Chiat Kompleks pada hari yang sama.

Menurut Encik Saktiandi, kedua-dua inisiatif itu mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam menyambut Ramadan di mana mereka memastikan keperluan asas dipenuhi sambil memberi peluang kepada kanak-kanak membuat persiapan perayaan dengan lebih bermakna.

“Kita mahu pastikan anak-anak ini ada senyuman dan ibu bapa mereka tidak perlu risau tentang pakaian baru untuk Hari Raya.

“Pada masa yang sama, kita ingin meraikan daya tahan dan semangat berdikari anak-anak kita,” ujarnya.

Antara benefisiari yang telah ke Joo Chiat Kompleks untuk beli pakaian baru adalah Abdurrahman Afeef Mohamed Yousouf, 16 tahun, yang pergi bersama kakaknya Amnah Marliyyah, 17 tahun dan adiknya Muhammad Ibrahim.

Pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah itu berkata peluang memilih pakaian Hari Raya sendiri memberinya pengalaman yang berbeza buat dirinya.

“Dengan peluang ini, saya dan adik beradik saya dapat memilih pakaian yang saya suka sendiri.

“Biasanya saya tidak memakai baju melayu kerana saya tidak ada, tetapi tahun ini akan menjadi kali pertama saya pakai baju melayu,” jelasnya sambil tersenyum.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg