Meskipun pada mulanya berasa gementar, pengalaman mengendalikan reruai permainan di acara tahunan ‘Toy Buffet’ pada 13 November membawa kegembiraan kepada Ulya Hany Putri Mohd Ali Hanafia, 18 tahun.

Buat kali pertama menjadi sukarelawan, Ulya kelihatan ceria ketika mengagihkan pelekat kepada kanak-kanak berusia antara lima dengan 12 tahun.

Pelajar tahun kedua dalam Barangan Visual di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central itu antara sekitar 1,200 sukarelawan yang menjayakan acara amal itu dan menceriakan pengalaman kanak-kanak yang hadir.

Bagi Ulya, peluang tersebut amat bermakna kerana dia sekian lama gemar berinteraksi bersama kanak-kanak, lebih-lebih lagi yang dapat membawa kegembiraan kepada mereka yang memerlukan.

Sekitar 2,000 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah diundang untuk memilih sekurang-kurangnya tiga mainan setiap seorang daripada 14,000 mainan baru dan terpakai yang disumbangkan menerusi Toy Buffet 2026 anjuran badan kebajikan Food from the Heart (FFTH).

Mereka termasuk penerima bantuan di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS) Kementerian Pendidikan (MOE) serta mereka yang mendapat sokongan agensi khidmat sosial.

Bertemakan Cosmic Odyssey: Power Up to the Stars, dewan serbaguna ITE Kolej Central diubah menjadi ruang karnival berkonsepkan angkasa dan permainan digital.

Kanak-kanak juga berpeluang menyertai reruai permainan dan persembahan semasa acara itu.

Baki mainan yang tidak diagihkan akan disalurkan kepada rumah kanak-kanak dan keluarga berpendapatan rendah yang menerima bantuan menerusi program ‘Community Food Pack’, tambah FFTH menerusi satu kenyataan media.

Acara itu turut dihadiri Menteri Pendidikan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee.

Pelajar Sekolah Rendah Qihua, Mohd Riyaz Rizqullah Mohd Rafie, 11 tahun, membawa pulang set permainan memanah dan pistol air.

Murid darjah lima itu kali pertama mencuba sukan memanah semasa acara di sekolahnya pada Julai lalu dan berharap dapat meneruskan minatnya dalam sukan tersebut sebagai hobi.

“Saya suka meluangkan masa bersama rakan. Kami sering bermain bersama semasa waktu rehat, makan tengah hari dan selepas sekolah,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FFTH, Encik Robin Lee, berkata acara itu bukan sekadar memberi peluang kepada kanak-kanak bermain dan menerima hadiah, malah bertujuan membina keyakinan, keberanian dan daya tahan mereka.

Antara rakan kerjasama ialah syarikat penyedia ruang penyimpanan, Work+Store, yang menyediakan ruang penyimpanan seluas 1,625 kaki persegi (kira-kira sebesar gelanggang badminton) di Ang Mo Kio selama tiga bulan bagi menyimpan, menyusun dan membungkus mainan sebelum ia diagihkan.

Syarikat DHL Express Singapore membantu mengangkut mainan dari tempat penyimpanan ke lokasi karnival.

CEO Work+ Store, Encik Danny Wong, berkata kerjasama itu memberi peluang kepada syarikatnya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Sebagai bapa kepada anak perempuan berusia lapan tahun, beliau memahami betapa bermaknanya mainan kepada kanak-kanak, terutama apabila melihat kegembiraan mereka memilih hadiah sendiri.

“Sebagai seorang bapa, saya turut berasa gembira melihat senyuman kanak-kanak apabila mereka menerima mainan. Saya sendiri mempunyai kenangan manis tentang mainan sewaktu kecil.

“Saya percaya setiap kanak-kanak berhak mempunyai kenangan indah bersama mainan yang mereka gemari,” tambahnya.