Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2,000 peluang kerja disediakan untuk penduduk CDC North West

Jul 29, 2024 | 6:01 PM
Acara utama SkillsFuture Festival @ North West 2024 yang akan berlangsung dari 3 hingga 4 Ogos 2024 di Kampung Admiralty Community Plaza, bakal tertumpu kepada tiga sektor pekerjaan yang baru muncul.
Acara utama SkillsFuture Festival @ North West 2024 yang akan berlangsung dari 3 hingga 4 Ogos 2024 di Kampung Admiralty Community Plaza, bakal tertumpu kepada tiga sektor pekerjaan yang baru muncul. - Foto CDC NORTH WEST

Lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam sektor yang sedang berkembang dan malar hijau boleh dijangka pada acara tahunan SkillsFuture Festival @ North West yang akan berlangsung dari 3 hingga 18 Ogos.

Dalam kenyataannya pada 29 Julai, Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West berkata acara tahun ini akan diperluaskan untuk menyediakan penduduk dengan pelbagai peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran.

Acara utama SkillsFuture Festival @ North West 2024, yang akan berlangsung dari 3 hingga 4 Ogos 2024 di Kampung Admiralty Community Plaza, bakal tertumpu kepada tiga sektor pekerjaan yang baru muncul – sektor penjagaan, digital dan sektor hijau.

Ia direka dengan tiga zon utama, iaitu Zon ‘Explore’ untuk penduduk meneroka peluang pekerjaan dan kursus baru yang boleh meningkatkan kemahiran mereka; Zon ‘Experiential’ untuk mencuba aktiviti amali, seperti belajar menerbangkan dron, melukis dan menjana video melalui kecerdasan buatan (AI), serta demonstrasi pertanian bandar.

Di Zon ‘Guidance’ pula, penduduk boleh mendapatkan nasihat mengenai perjalanan pembelajaran sepanjang hayat mereka dengan pasukan SkillsFuture Advice @ North West dan jurulatih kerjaya.

Untuk menandakan pelancaran acara tahun ini, Mayor CDC North West, Encik Alex Yam, akan menyerikan acara itu sebagai tetamu terhormat dan beliau akan turut disertai penasihat GRO GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.

Mengenai kepentingan acara SkillsFuture Festival @ North West, Encik Yam berkata bahawa ia memberi peluang kepada pelajar dan pencari kerja mendapat akses kepada kerjaya dan sumber peningkatan kemahiran yang baru muncul dalam sektor malar hijau, seperti logistik dan pengangkutan.

“Selaras dengan usaha CDC North West untuk membina masyarakat pembelajaran, acara sepanjang dua minggu pada tahun ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti sesi webinar, dan pameran kerjaya pada 17 dan 18 Ogos untuk penduduk North West kami agar mereka dapat memulakan perjalanan pembelajaran mereka serta dapat meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula dan menempa masa depan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri,” tambah Encik Yam.

Antara sesi webinar yang tersedia untuk peserta termasuk empat sesi webinar yang memberi tumpuan kepada topik seperti ‘Peningkatan Kemahiran dalam Pendigitalan’, ‘Kemahiran Komunikasi Berkesan’, ‘Rangkaian Berkesan’, dan ‘Pemasaran Digital dengan AI’.

CDC North West juga telah menjalinkan perkongsian dengan rakan kongsi korporat dan masyarakat untuk menyokong dan menghubungkan mereka dengan sumber daripada rakan kongsi untuk keperluan kebolehpasaran dan peningkatan kemahiran.

Pada 2024, ia juga telah bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IHL), pakar industri, majikan, dan penyedia latihan untuk memperkayakan pameran yang akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg