Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jalan pantas bantu warga emas kekal sihat, atasi rasa sunyi

Jun 6, 2024 | 4:02 PM
Cik Nortipah Md Noor (kanan) dan Cik Asmah Sooit (kiri) yang melibatkan diri dalam Kelab Berjalan Pantas North West (BWC) lima tahun lalu, kini berjalan pantas dua kali seminggu untuk menyihatkan badan dan mencergaskan minda mereka.
Cik Nortipah Md Noor (kanan) dan Cik Asmah Sooit (kiri) yang melibatkan diri dalam Kelab Berjalan Pantas North West (BWC) lima tahun lalu, kini berjalan pantas dua kali seminggu untuk menyihatkan badan dan mencergaskan minda mereka. - Foto NORTH WEST CDC

Bagi Cik Nortipah Md Noor dan Cik Asmah Sooit, berjalan pantas merupakan cara mereka membahagiakan diri tatkala dilanda kesunyian.

Dua ibu tunggal itu menjalin persahabatan erat sejak mereka bertemu buat kali pertama di kelab masyarakat Woodlands lima tahun lalu atas saranan teman-teman yang juga anggota Kelab Berjalan Pantas North West (BWC).

Dengan kegiatan senaman yang berlangsung dua kali setiap minggu ini, mereka bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan, malah menyegarkan minda.

“Anak saya yang galakkan saya supaya menyertai kelab berjalan pantas ini kerana beliau ingin saya mendapat kawan baru sambil menjaga kesihatan saya.

“Jika saya di rumah, mungkin saya banyak berfikir. Tetapi dengan adanya kegiatan sebegini, saya lebih gembira dapat meluangkan masa di luar,” kongsi Cik Asmah, 64 tahun, ibu tunggal kepada tiga anak.

Begitu juga dengan Cik Nortipah, 72 tahun. Bercakap kepada Berita Harian (BH), beliau, yang masih giat bersenam dan kekal cergas, berkata:

“Kami akan berjalan pantas sepanjang dua atau tiga kilometer selama hampir dua jam mulai 7.30 pagi, dan melalui kegiatan ini, kaki saya tidak sakit seperti dahulu, badan pun tak rasa lemah sangat.

“Selepas berjalan pantas kadangkala kami juga akan pergi sarapan bersama,” tambah Cik Nortipah.

Mereka juga menekankan kepentingan penuaan aktif dalam kalangan warga emas dengan melakukan kegiatan yang menggalakkan warga emas untuk berinteraksi di luar rumah.

“Saya telah hidup bersendirian selama 32 tahun dan saya harus belajar untuk hidup berdikari walaupun anak dan cucu sering ke rumah.

“Untuk melawan perasaan sunyi, saya melakukan beberapa perkara seperti menghadiri kelas di Masjid Yusof Ishak dan Masjid Assyafaah, di samping menjadi anggota BWC anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West,” kata Cik Nortipah.

CDC North West telah menganjurkan Pesta Hidup Sihat atau Healthy Living Festival@North West sepanjang hujung minggu pada 1 hingga 2 Jun untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan pererat ikatan dalam kalangan penduduk, sejajar dengan usaha CDC North West untuk membina masyarakat bersatu padu dan berdaya tahan.

Lebih 30 kegiatan sukan dan kesihatan yang sesuai untuk semua peringkat umur telah berlangsung di Pusat Sukan Yishun kendalian ActiveSG.

Antara peserta yang hadir termasuk Cik Nortipah dan Cik Asmah, diberikan peluang mencuba sukan seperti kelas spin atau berbasikal dalam bangunan, kelas Zumba dan latihan berjeda keamatan tinggi (High Intensity Interval Training), badminton, bola keranjang dan futsal serta permainan tradisional seperti batu seremban dan capteh.

Menurut Mayor CDC North West, Encik Alex Yam, semasa menyerikan Pesta Hidup Sihat, sekitar 3,000 penduduk dari enam Kelab Hidup Sihat termasuk Kelab Berjalan Pantas, turut serta untuk menjalin persahabatan dan keakraban yang kukuh.

“Semoga semangat kekeluargaan ini dapat menggalakkan lebih ramai penduduk untuk menyertai kami dan menjadi sebahagian daripada rangkaian kesihatan terbesar di Singapura,” ujar Encik Yam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg