Topik diikuti
Pergi ke BHku21 sertai program pembangunan kepimpinan Tunas 3.0
Program berlangsung selama 12 bulan dari Ogos 2026 hingga Julai 2027
Seramai 21 individu dari masjid-masjid tempatan, badan Melayu/Islam (MMO), M³@Bandar, Rangkaian Karyawan Mendaki, Kelab Mendaki dan pemimpin kesatuan telah dipilih untuk menyertai kohort ketiga program Tunas Bersama M³+ (Tunas 3.0).
Kesemua peserta yang dipilih akan menjalani latihan pembangunan kepimpinan selama 12 bulan dari Ogos 2026 hingga Julai 2027.
Latihan tersebut termasuk melaksanakan projek tamat pengajian atau ‘capstone’ di mana mereka dikehendaki membentang projek tersebut pada Mei 2027, sekali gus mampamerkannya sewaktu acara Raikan Ilmu pada 2027.
Dengan projek itu, ia secara tidak langsung memberi peserta peluang menerapkan ilmu yang dipelajari dalam bentuk tindakan serta membuahkan kesan yang bermakna buat masyarakat, kata Yayasan Mendaki dalam satu kenyataan pada 29 Ogos.
Dilancarkan pada 2022, Tunas bertujuan membangunkan pemimpin masyarakat dalam kalangan MMO dan masyarakat dengan lebih luas
Melalui program Tunas, peserta dilengkapi dengan kecekapan kepimpinan, pengetahuan tentang tadbir urus dan dasar, serta peluang untuk membina rangkaian yang diperlukan bagi menyumbang secara berkesan dalam organisasi masing-masing, masyarakat dan Singapura secara lebih meluas.
Sebagai sebahagian daripada Tunas 3.0, Mendaki memperkenalkan Rangka Kerja Tunas, sebuah rangka kerja pembangunan kepimpinan bersepadu yang menyajikan laluan perkembangan yang jelas dan berstruktur bagi peserta.
Menurut Mendaki, rangka kerja itu membimbing peserta daripada memimpin diri sendiri, kepada memimpin pasukan serta organisasi, dan akhirnya menyumbang secara bermakna kepada masyarakat lebih luas.
Antara pemimpin yang telah dipilih untuk menjalani program itu termasuk Pengerusi Masjid Kassim, Encik Muhammad Haikal Mohamed Harun; Presiden Ain Society, Ustaz Muhammad Fizar Zainal, Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Syahiran Rohajat; dan Penolong Ketua Rangkaian Karyawan bagi Keusahawanan, Encik Mustaffa Kamal.
Usaha Tunas 3.0 itu akan turut menerima sokongan hasil daripada Memorandum Perjanjian (MOA) yang dimeterai antara Mendaki dengan Yayasan Tanoto pada 28 Ogos di UOB Plaza.
MOA ditandantangani kededua badan itu menandakan kerjasama yang berlangsung dari Ogos 2026 hingga Julai 2029, dengan matlamat memperkukuh usaha pembangunan kepimpinan dalam masyarakat Melayu/Islam – sekali gus menyokong kohort ketiga dan keempat program Tunas Bersama M³+.
Sehubungan itu, Mendaki dan Yayasan Tanoto akan turut menyediakan wadah penglibatan bagi peserta Tunas semasa dan juga alumni.
Wadah tersebut merangkumi sesi perbincangan santai atau ‘fireside chat’, dialog kepimpinan, wadah jaringan serta pelbagai lagi bentuk penglibatan bersama pemimpin kanan.
Hal tersebut demi menggalakkan perkongsian pengetahuan, jalinan hubungan dan penerusan penglibatan dalam kalangan masyarakat Tunas.
