Yayasan Mendaki (Mendaki) dan Yayasan Tanoto telah memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) selama tiga tahun pada 28 Ogos bagi memperkukuh usaha pembangunan kepimpinan dalam masyarakat Melayu/Islam.

Kerjasama yang berlangsung dari Ogos 2026 hingga Julai 2029 itu akan menyokong kohort ketiga dan keempat program Tunas Bersama M³+ (Tunas).

Tunas merupakan program pembangunan kepimpinan anjuran Mendaki yang melengkapkan peserta dengan kemahiran, jaringan dan pengalaman yang diperlukan untuk menyumbang secara berkesan kepada masyarakat dan negara.

Berucap di majlis menandatangani perjanjian di UOB Plaza itu, yang turut menandakan permulaan Tunas 3.0, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata sokongan Yayasan Tanoto akan memperkukuh program Tunas sedia ada.

“Di bawah kerjasama ini, para peserta akan dilengkapi dengan kemahiran kepimpinan, pengetahuan mengenai tadbir urus dan dasar, serta peluang membina jaringan yang diperlukan untuk menyumbang secara berkesan dalam pertubuhan mereka, masyarakat dan Singapura secara lebih luas,” ujarnya.

MOA itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber, dan CEO Yayasan Tanoto, Encik Benny Lee.

Ia turut disaksikan Encik Zaqy, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, serta Naib Pengerusi RGE Pte Ltd merangkap Anggota Lembaga Penasihat Yayasan Tanoto, Encik Bey Soo Khiang.

Yayasan Tanoto ialah sebuah organisasi filantropi bebas milik keluarga yang diasaskan pada 1981 oleh usahawan Indonesia, Encik Sukanto Tanoto, dan isterinya, Cik Tinah Bingei Tanoto.

Bagi kohort Tunas 3.0, seramai 21 pemimpin Melayu/Islam daripada pelbagai sektor berpeluang menyertai lawatan pembelajaran ke Pangkalan Kerinci, Indonesia.

Encik Zaqy turut berkongsi pengalaman itu akan melanjutkan pembelajaran mereka di luar bilik darjah menerusi pendedahan secara langsung serta interaksi dengan pemimpin industri.

Menurut kenyataan media Mendaki pada 28 Ogos, lebih banyak wadah interaksi akan disediakan untuk peserta Tunas dan alumni program tersebut.

Ini termasuk sesi dialog sembang santai atau ‘fireside chat’, dialog kepimpinan, wadah membina jaringan serta sesi interaksi lain bersama pemimpin kanan bagi menggalakkan perkongsian pengetahuan, membina hubungan dan meneruskan penglibatan dalam masyarakat.

Selaras ini, peserta Tunas 3.0 akan menjalankan projek tamat pengajian atau ‘capstone project’ dari Disember 2026 hingga April 2027, sebelum membentangkan projek serta saranan mereka pada Mei 2027.

Hasil kerja mereka juga bakal dipamerkan semasa Raikan Ilmu 2027.

Encik Zaqy turut berkongsi bahawa edisi-edisi Tunas sebelum ini telah melibatkan seramai 35 pemimpin, dan daripada hubungan yang terjalin menerusi program tersebut, 17 projek masyarakat telah dihasilkan bagi menyokong keluarga, belia dan golongan yang memerlukan.

“Apabila kita melabur dalam pemimpin, kita turut mengukuhkan pertubuhan dan masyarakat kita,” kata Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan).

“Dengan pemimpin yang lebih bersedia dan kerjasama yang lebih erat, insya-Allah, masyarakat kita akan terus maju bersama.”