BANGKOK: Seramai 22 penumpang penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) yang dilanda gelora udara dan terpaksa dilencongkan ke Bangkok bagi satu pendaratan cemas pada 21 Mei masih dalam jagaan rapi, kata seorang pegawai hospital.
“Bilangan pesakit dalam ICU (Unit Jagaan Rapi) kekal sama,” kata Pengarah Hospital Samitivej Srinakarin di Bangkok, Dr Adinun Kittiratanapaibool, kepada wartawan pada 23 Mei.
“Maknanya mereka dalam ICU ialah mereka memerlukan perhatian rapi,” katanya, sambil menambah bahawa pada masa ini tiada kes yang mengancam nyawa.
Daripada 40 penumpang penerbangan itu yang masih dirawat, 22 mengalami kecederaan saraf tunjang dan enam mengalami kecederaan otak serta tengkorak, katanya.
Menurut beliau, jumlah asal ialah 41 orang tetapi seorang daripada mereka telah dibenar keluar hospital.
Antara yang masih dalam keadaan kritikal ialah dua penumpang warga Singapura.
Sementara itu, seorang penumpang berkata beliau terdengar bunyi dentuman kuat sebaik sahaja tanda tali pinggang keledar harus dipasang semasa penerbangan dinyalakan.
Dalam satu temu bual bersama saluran berita Britain Sky News, warga Britain itu, Encik Josh Silverstone, berkata: “Saya masih ingat bangun di atas lantai dan hanya mendengar orang menangis, melihat sekeliling dan melihat darah, melihat siling runtuh dan beberapa lagi perkara seperti itu.
“Ia agak membimbangkan. Ada seorang wanita di hadapan saya, agak berumur; beliau tidak boleh bergerak. Beliau tidak ingat namanya. Beliau tidak tahu kenapa beliau berada dalam penerbangan itu.”
Encik Silverstone, 24 tahun, menambah bahawa beliau melihat seorang anggota kru kabin melecur akibat terkena air panas ketika sarapan pagi sedang dihidangkan semasa kejadian.
“Ramai lagi anak kapal yang dalam keadaan berdarah, berjalan-jalan untuk memeriksa semua orang,” katanya.
Penerbangan itu, yang berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow London ke Singapura pada 21 Mei, mengalami gelora udara teruk di Lembangan Irrawaddy sekitar 10 jam selepas berlepas.
Pesawat Boeing 777-300ER itu, yang membawa 211 penumpang dan 18 kru, kemudian dilencongkan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi Thailand bagi pendaratan cemas.
Daripada 211 penumpang, 41 adalah warga Singapura dan baki 170 dari negara seperti Australia, Malaysia, New Zealand dan Britain.
Seorang penumpang – Encik Geoffrey Kitchen, warga Britain – meninggal dunia.
Encik Silverstone memberitahu Sky News beliau menggunakan wi-fi pesawat untuk menghubungi ibunya.
“Saya tidak mahu terlalu membimbangkan dan menakutkan mereka, jadi saya menghantar mesej kepadanya seperti ‘Dalam penerbangan yang agak gila. Mengalami pendaratan kecemasan. Saya sayang awak’,” kata beliau.
Encik Silverstone berkata beliau mengalami luka dan lebam di mukanya serta giginya patah. Beliau tidak pasti sama ada beliau memakai tali pinggang keledar dengan ketat, kerana terhumban ke lantai kabin selepas berlaku gelora.
“Saya hampir tidak boleh berjalan dan saya mula muntah juga,” katanya.
Insiden itu, katanya, membuat beliau tidak akan terbang buat sementara.
“Saya masih perlu menamatkan percutian saya, jadi saya tidak akan berhenti terbang sepenuhnya, dan saya perlu pulang ke rumah.
“Tetapi selepas itu, saya fikir mungkin saya akan pergi ke Paris atau Amsterdam dengan kereta api. Mungkin beberapa penerbangan jarak pendek, tetapi pastinya tiada penerbangan jarak jauh untuk seketika,” kata Encik Silverstone.
Pada kira-kira 5 pagi pada 22 Mei, 131 penumpang dan 12 anak kapal telah diterbangkan semula ke Singapura, tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg