Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyiasat pengangkutan S’pura di Bangkok untuk siasat insiden SQ321

131 penumpang, 12 kru selamat tiba di S’pura pada 22 Mei; 2 penumpang warga S’pura dirawat di unit jagaan rapi di Thailand
May 22, 2024 | 7:59 PM
Pesawat Singapore Airlines (SIA), SQ321, mengalami gelora udara yang kuat pada 21 Mei di Lembangan Irrawaddy di Myanmar, kira-kira 10 jam setelah berlepas dari London.
Pesawat Singapore Airlines (SIA), SQ321, mengalami gelora udara yang kuat pada 21 Mei di Lembangan Irrawaddy di Myanmar, kira-kira 10 jam setelah berlepas dari London. - Foto AFP

Pegawai dari Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) telah tiba di ibu negara Thailand, Bangkok, untuk menyiasat gelora udara ekstrem yang berlaku secara tiba-tiba ke atas pesawat Singapore Airlines (SIA) SQ321 hingga menyebabkan seorang penumpang maut dan puluhan lain cedera.

Syarikat penerbangan itu juga mengumumkan lagi lima penumpang dijangka pulang ke Singapura pada 22 Mei.

Ini tambahan kepada 131 penumpang dan 12 kru yang tiba di Singapura pada pagi 22 Mei dalam satu penerbangan bantuan.

Dalam satu kiriman Facebook pada 5.40 petang, SIA berkata lagi 74 penumpang dan enam kru kekal di Bangkok, dengan seorang kru dijadualkan pulang pada 23 Mei.

Mereka yang masih berada di Bangkok termasuk penumpang yang sedang menerima rawatan perubatan, serta anggota keluarga dan orang tersayang mereka yang berada dalam penerbangan itu, kata SIA.

Pesawat Boeing 777-300ER yang menuju ke Singapura itu mengalami gelora udara yang ekstrem pada 21 Mei semasa melalui Lembangan Irrawaddy di Myanmar, kira-kira 10 jam setelah berlepas dari London.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat dengan 211 penumpang dan 18 anak kapal itu ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada 3.45 petang (4.45 petang waktu Singapura).

Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Chee Hong Tat, dalam satu kiriman Facebook pada 22 Mei berkata pegawai TSIB tiba di Bangkok pada malam 21 Mei.

TSIB adalah jabatan dalam Kementerian Pengangkutan (MOT) yang bertanggungjawab menyiasat kemalangan dan insiden udara, marin dan rel.

Selain kejadian pesawat yang berlaku di Singapura, TSIB menyiasat insiden di luar negara yang melibatkan pesawat berdaftar Singapura atau pesawat yang dikendalikan oleh pengendali Singapura.

Encik Chee menambah: “Memandangkan insiden ini melibatkan pesawat Boeing 777-300ER, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat sedang menghantar wakil bertauliah dan empat penasihat teknikal untuk menyokong siasatan.”

Boeing yang berpangkalan di Amerika, pengeluar pesawat SIA, berkata ia sedang berhubung dengan syarikat penerbangan itu mengenai SQ321 dan “bersedia untuk menyokong mereka”.

NTSB sebelum ini menyiasat insiden penerbangan berprofil tinggi lain seperti apabila panel kabin pesawat bagi penerbangan 1282 Alaska Airlines tercabut di udara pada 5 Januari.

Encik Chee mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Thailand di atas sokongan mereka dalam memindahkan penumpang dan kru pesawat, memberi bantuan perubatan dan membantu mereka yang terjejas.

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 22 Mei berkata ia bekerjasama dengan MOT, Kementerian Ehwal Luar Singapura, pegawai Lapangan Terbang Changi dan kakitangan SIA untuk menyokong penumpang serta kru yang terjejas serta keluarga mereka.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu kiriman Facebook pada 22 Mei berkata beliau berasa lega apabila mendapat tahu bahawa (kumpulan pertama) 143 penumpang dan kru pesawat SQ321 telah selamat kembali ke Singapura dalam penerbangan bantuan.

“Bagi pihak pemerintah dan rakyat Singapura, saya berterima kasih kepada pihak berkuasa di Thailand di atas sokongan mereka dalam memberikan bantuan perubatan dan membantu penumpang dan kru yang terjejas,” tulisnya.

“Takziah sekali lagi kepada keluarga dan orang tersayang penumpang yang meninggal dunia. Saya juga berharap dan berdoa agar mereka yang cedera dapat sembuh dan pulang ke tanah air segera,” tambahnya.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, turut mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang yang meninggal dunia.

Beliau menulis di Facebook: “Terima kasih kepada semua orang di sini dan di luar negara yang melakukan yang terbaik untuk membantu mereka yang terjejas, dan saya berharap penumpang dan kru yang cedera cepat sembuh.”

Penumpang SQ321 seramai 211 orang itu termasuk 41 warga Singapura, dengan baki 170 dari negara seperti Australia, Malaysia, New Zealand dan Britain.

Penumpang yang meninggal dunia itu telah dikenal pasti sebagai warga Britain berusia 73 tahun, Encik Geoff Kitchen. Beliau seorang pengarah teater muzikal dan karyawan insurans bersara, menurut laporan media Britain.

Bapa dua anak itu dan isterinya, yang juga dalam penerbangan sama dan kemudian dibawa ke hospital, sedang dalam perjalanan untuk bercuti selama enam minggu dan berhasrat mengunjungi Singapura, Indonesia, Jepun dan Australia.

Pengerusi SIA, Encik Peter Seah, berkata syarikat penerbangan itu komited untuk menyokong setiap penumpang dan kru di atas kapal.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang di Singapura, Thailand, dan seluruh dunia yang membantu mereka yang terjejas oleh insiden ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada orang tersayang Encik Kitchen, yang meninggal dunia akibat serangan jantung. 

Hospital Samitivej di Bangkok dalam satu kenyataan pada 22 Mei berkata hingga 1 tengah hari waktu tempatan, 58 penumpang masih dirawat di pelbagai kemudahan perubatan, dan 27 dibenarkan keluar.

Dua penumpang warga Singapura kini berada di unit jagaan rapi. Seorang daripada mereka dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin, manakala seorang lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg