Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 cedera selepas bas persiaran dari S’pura terbabas di Johor

Dec 29, 2023 | 8:07 PM
BAS TERBABAS: Sebuah bas persiaran terbabas dan terbalik dalam hujan lebat di lebuh raya di Johor. Tiga penumpang memerlukan bantuan perubatan selepas kemalangan itu.
BAS TERBABAS: Sebuah bas persiaran terbabas dan terbalik dalam hujan lebat di lebuh raya di Johor. Tiga penumpang memerlukan bantuan perubatan selepas kemalangan itu. - Foto ST READER

Pada awal pagi 27 Disember, Encik Jeremy Chua tersedar daripada tidur kerana terasa sakit akibat lututnya yang cedera parah, gara-gara bas persiaran yang dinaikinya terbalik di Lebuh Raya Utara-Selatan di Malaysia.

Warga Singapura berusia 27 tahun itu dan teman wanitanya, Cik Sandar Tun, 26 tahun, menaiki bas persiaran dari Singapura menuju ke Kuala Lumpur apabila kenderaan itu terbabas dari lebuh raya di Johor dan merempuh kawasan rumput.

Kemalangan itu berlaku sekitar 3.55 pagi, menurut The Straits Times (ST).

“Kebanyakan penumpang sedang tidur ketika nahas itu berlaku,” kata Encik Chua, yang menempah perjalanan bas itu melalui laman web tempahan bas kelolaan pihak ketiga.

“Saya masih mampu menahan sakit,” katanya, sambil menambah, beliau terkejut dengan nahas itu selepas tersedar daripada tidur.

Kepala teman wanitanya terhantuk dalam kejadian tersebut, tambahnya.

Menurut Encik Chua, seorang konsultan kewangan, bas itu melepasi pusat pemeriksaan imigresen di Malaysia sekitar 3 pagi pada 27 Disember.

Kemalangan itu berlaku sekitar sejam kemudian berhampiran Kulai, di kilometer 41.3 lebuh raya itu.

Bas itu terbabas dan terbalik dalam keadaan hujan lebat. Beliau kemudian melihat pemandu bas membantu penumpang keluar dari bas tersebut, tambahnya.

“Saya duduk di tempat duduk pertama di belakang pemandu,” katanya.

“Saya terkejut melihat kaca (depan) bas retak,” tambahnya.

Menjawab pertanyaan ST, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Renggam, Encik Mohd Nizar Ma’mun, berkata anggota bomba mengeluarkan dua mangsa, termasuk Encik Chua daripada bas itu.

Menurut hantaran di Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengenai kemalangan itu, terdapat 37 penumpang dalam bas tersebut, termasuk empat kanak-kanak.

Tiga penumpang, termasuk Encik Chua, memerlukan bantuan perubatan.

Dua lagi penumpang wanita, masing-masing mengalami retak tulang leher dan cedera ringan yang tidak dinyatakan.

Sekurang-kurangnya seorang daripada wanita itu adalah warga Singapura, kata Encik Nizar.

Akhbar berbahasa Cina, Shin Min Daily News, melaporkan bahawa polis Malaysia sedang menyiasat pemandu berusia 29 tahun itu kerana memandu dengan laju.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg