Tiga orang - termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun - dibawa ke hospital selepas kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan teksi berlaku di perhentian teksi yang terletak di Serangoon Central pada 10 Februari.
Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 7.50 pagi, kata pihak polis, sambil menambah dua lagi yang terlibat merupakan seorang wanita berusia 48 tahun, dan ibu budak lelaki itu yang berusia 42 tahun.
Polis menambah pemandu teksi berusia 59 tahun itu mengalami kecederaan ringan, dan enggan dibawa ke hospital, lapor akhbar The Straits Times.
Video kejadian, yang dimuat naik di media sosial, menunjukkan teksi itu berhenti di perhentian teksi. Kapsyen pada video itu pula menjelaskan kejadian itu berlaku di luar pusat beli-belah Nex.
Seorang wanita, ditemani seorang budak lelaki, dilihat membuka pintu teksi sebelum sebuah kereta putih tiba-tiba merempuh mereka.
Kereta putih itu juga kelihatan terlanggar bahagian belakang teksi dan seorang wanita yang berdiri di sebelah tiang tanda perhentian teksi.
Wanita pertama kemudian dilihat bangun sambil memeriksa budak lelaki itu. Sejurus kemudian, pemandu teksi keluar dari kenderaan berkenaan dan berjalan ke arah kereta putih itu.
Pemandu wanita berusia 34 tahun, sedang membantu siasatan, kata polis.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menambah mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital Besar Sengkang dan Hospital Tan Tock Seng.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg