Mulai Julai, orang ramai boleh mengambil kad pengenalan (IC) dan pasport baru mereka dari kios automatik di pusat perkhidmatan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang baru di Lavender tanpa memerlukan janji temu.
Pusat baru itu terletak di 2 Crawford Street, bersebelahan dengan bangunan ICA sedia ada dan akan mula beroperasi pada 7 April.
Ia akan dibuka dari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 4.30 petang.
Tempat letak kenderaan awam tidak akan tersedia hingga 2027, namun terdapat tempat menurunkan penumpang di pintu masuk pusat baru itu.
Pusat itu boleh diakses melalui pengangkutan awam.
Orang ramai pada masa ini perlu membuat janji temu untuk mengambil kad pengenalan dan pasport baru di bangunan ICA, lapor The Straits Times.
ICA menyatakan pada 10 Februari bahawa butiran lanjut akan diberikan kemudian.
Pihak berkuasa itu menyatakan pusat baru tersebut akan memudahkan orang ramai menyelesaikan transaksi mereka – melalui “satu titik sentuhan”.
Pada masa ini, mereka perlu pergi ke tingkat-tingkat berbeza di bangunan ICA itu bagi perkhidmatan yang berbeza.
Pelanggan yang masuk tanpa janji temu (walk-in) tidak akan dilayan di kaunter bangunan ICA yang ada sekarang antara 1 dengan 4 April, kerana ICA berkata ia akan melakukan beberapa ujian serta memperhalusi sistem serta prosesnya di pusat baru itu.
Mereka yang memerlukan bantuan segera akan dinilai dan dilayan berdasarkan kes, dan perlu menyediakan dokumen sokongan, ujar ICA.
Permintaan sedemikian termasuk pasport untuk perjalanan segera, angkat sumpah bagi mereka yang mencapai umur 22 tahun antara 1 April dengan 6 April, dan penyempurnaan proses rasmi bagi pas imigresen yang tamat tempoh dalam tempoh yang sama.
ICA juga menggalak orang ramai menyelesaikan transaksi ICA mereka sebelum tempoh peralihan itu.
Dalam tempoh ini, orang ramai boleh terus menghantar permohonan mereka dalam talian melalui laman web ICA atau aplikasi mudah alih MyICA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg