Tiga lelaki – dua warga Malaysia dan seorang warga Singapura – telah ditangkap atas kesalahan dadah dalam operasi berasingan, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 6 Ogos.
Dua warga Malaysia itu ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands, manakala warga Singapura itu ditangkap berhampiran Bras Basah dalam operasi berasingan menyusuli siasatan lanjut, kata pihak berkuasa.
Pada 31 Julai, seorang lelaki berusia 33 tahun, ditemui memiliki sekitar 414 gram Ice atau methamphetamine, serta 46 gram pil Ecstasy selepas pegawai ICA melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan berdaftar Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Menurut kenyataan tersebut, jumlah Ice yang dirampas mampu memenuhi keperluan sekitar 230 penagih selama seminggu.
Pihak berkuasa menemui dadah tersebut di dalam termos hitam dalam kenderaan itu serta dalam satu bungkusan yang disembunyikan di bahagian sulit lelaki berkenaan.
Dadah yang dianggarkan bernilai sekitar $52,000 itu dirampas bersama sejumlah wang tunai dalam pelbagai mata wang – termasuk dolar Singapura, ringgit Malaysia dan baht Thailand – berjumlah sekitar $5,984, lapor The Straits Times (ST).
Menurut kenyataan itu, seorang lelaki warga Singapura berusia 52 tahun turut ditangkap pada hari yang sama kerana disyaki terlibat dalam kesalahan dadah susulan siasatan lanjut, namun tiada perincian diberikan.
Pada 2 Ogos, seorang lelaki warga Malaysia berusia 36 tahun ditahan selepas didapati membawa kanabis dan ketamin dalam sebuah motosikal berdaftar Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Pegawai ICA menemui satu bungkusan yang disyaki mengandungi dadah terkawal selepas menjalankan pemeriksaan yang dipertingkatkan.
Ini diikuti penemuan empat lagi bungkusan di dalam kotak belakang motosikal tersebut oleh pegawai CNB.
Sebanyak 4,149 gram kanabis dan 10 gram ketamin dirampas, yang dianggarkan bernilai lebih $100,000.
Menurut kenyataan itu, jumlah kanabis yang dirampas itu mampu memenuhi keperluan sekitar 590 penagih selama seminggu.
Mereka yang didapati mengimport atau mengeksport methamphetamine lebih daripada 250 gram, atau kanabis lebih daripada 500 gram ke dalam atau ke luar Singapura, boleh dikenakan hukuman mati.
Siasatan bagi kedua-dua kes masih dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg