Topik diikuti
Pergi ke BHku3 lensa, satu visi: Wanita bawa cahaya dalam industri fotografi tempatan
Ketika bilangan jurugambar wanita dalam industri fotografi Melayu Singapura masih kecil, Cik Roslina Sazali, 37 tahun, merupakan antara segelintir wanita yang berani membina nama di sebalik lensa.
Kini, selepas lebih sedekad berkecimpung dalam bidang itu, beliau mahu membuka lebih banyak ruang kepada generasi baharu jurugambar wanita menerusi jenama, HerNarratives.
Ditubuhkan pada Ogos 2025, HerNarratives merupakan kolektif fotografi yang menghimpunkan jurugambar dan juruvideo wanita dengan gaya visual tersendiri.
Selain menyediakan khidmat fotografi bagi majlis perkahwinan, sesi materniti, potret keluarga dan acara penting lain, wadah itu turut memberi peluang kepada pelanggan, khususnya wanita, memilih jurugambar yang membuat mereka berasa lebih selesa.
Ia turut menganjurkan bengkel dan pertemuan kreatif wanita.
Menurut Cik Roslina, ketika beliau mula berkecimpung dalam bidang fotografi pada 2014, bilangan jurugambar wanita dalam industri Melayu setempat boleh dihitung dengan jari.
“Kami semua saling mengenali kerana jumlah jurugambar wanita ketika itu mungkin kurang daripada 10 orang,” katanya.
Justeru, beliau tidak mahu HerNarratives dikenali menerusi satu gaya fotografi sahaja, sebaliknya mahu setiap jurugambar di bawah kolektif itu dirai sebagai individu.
“Kalau seseorang dipaksa mengikut satu gaya sahaja, lama-kelamaan minat itu mungkin hilang dan ia akan kelihatan dalam hasil gambar,” katanya.
Bagi pengantin berhijab pula, mereka boleh berasa lebih tenang tanpa perlu terlalu memikirkan soal aurat ketika sesi persiapan.
Cik Roslina mengimbau kembali pengalaman merakam potret sebuah keluarga tiga generasi, termasuk seorang bapa yang sedang sakit ketika itu.
Lelaki itu meninggal dunia sebulan kemudian.
“Gambar mungkin menjadi satu-satunya perkara yang kekal dan boleh disimpan apabila kehilangan individu tersayang,” katanya.
Semangat memperkasakan wanita dalam bidang fotografi turut dikongsi pengasas syarikat, Natasha Kasim Photography dan Dream Archive Studio, Cik Natasha Kasim, 28 tahun.
Siswazah Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu pada mulanya bercita-cita menjadi wartawan atau penulis.
Namun, minatnya beralih kepada bidang visual selepas beliau sering memerhatikan cara seorang pereka grafik merakam dan menyunting gambar ketika menjalani latihan industri.
Beliau kemudian membina portfolio melalui pengalaman menjadi jurugambar sebelum menubuhkan syarikatnya sendiri, yang kini mempunyai hampir 20 jurugambar dan juruvideo.
Menurutnya, ramai jurugambar wanita masih berdepan rasa kurang yakin dan kadangkala takut dipandang rendah.
“Mulakan secara kecil-kecilan dan cari mentor. Kejayaan tidak berlaku dalam sehari. Ia seperti maraton, bukan pecutan,” katanya.
Bagi Cik Nur Syuhaidah Nur Hamidy, 25 tahun, kerjaya dalam fotografi pula bermula tanpa dirancang.
Bekas jururawat itu mula tertarik kepada bidang fotografi ketika mengendalikan sesi penggambaran bagi sebuah jenama aksesori kecil.
Beliau kemudian menyertai syarikat fotografi tempatan, Airisu.
Kini, hampir dua tahun beliau bekerja sepenuh masa sebagai jurugambar.
Walaupun susuk tubuhnya yang kecil pernah membuatkan sesetengah pihak menganggap beliau kurang berpengalaman, kepercayaan yang diberikan pasangan pengantin ketika mengendalikan majlis secara sendirian membantunya menjadi lebih yakin.
Beliau juga belajar untuk berdiri teguh, memberi arahan dengan jelas dan meyakinkan pasangan bahawa detik penting mereka ditangani dengan baik.
Bagi Cik Syuhaidah, hubungan antara jurugambar dengan pelanggan sangat penting kerana rasa selesa mampu menghasilkan gambar yang lebih semula jadi dan jujur.
Beliau berharap lebih ramai wanita terdorong menyertai industri itu dan yakin bahawa ada ruang untuk mereka berkembang.
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.

