Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Ustazah Gangster’ bimbing banduan wanita bina hidup baharu
‘Ustazah Gangster’ bimbing banduan wanita bina hidup baharu
Yakin banduan berhak diberi peluang, namun percaya ia juga bergantung pada kesediaan masyarakat terima mereka kembali
‘Ustazah Gangster’ bimbing banduan wanita bina hidup baharu
Setelah enam tahun mendampingi golongan banduan wanita di penjara, Ustazah Maria Mohamed Siddique dikenali dengan gelaran mesra ‘Ustazah Gangster’.
Gelaran itu, katanya sambil tertawa, tercetus kerana beliau gemar menggunakan bahasa yang lebih santai dan dekat dengan kehidupan seharian banduan.
Ini bagi mewujudkan suasana yang membuatkan para pelajar berasa lebih selesa mengikuti kelas dan lebih terbuka meluahkan isi hati mereka, kata Ustazah Maria.
Oleh itu, golongan banduan tidak teragak-agak dan selesa mendapatkan nasihat seperti cara membina semula kehidupan, memulihkan hubungan silaturahim dan mencari jalan ke arah taubat.
Ini memandangkan sokongan rohani dan keluarga adalah antara tonggak penting dalam proses perubahan serta penyepaduan semula ke dalam masyarakat, tambah beliau.
Hampir setiap Sabtu sejak 2020, pendidik agama berusia 34 tahun itu telah meluangkan masanya sebagai sukarelawan di bawah badan kebajikan Fitrah, mengendalikan kelas agama dan bimbingan kerohanian bagi banduan wanita yang kebanyakannya menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan dadah di Penjara Changi.
Pada 24 Julai, beliau antara 491 individu dan rakan kerjasama masyarakat yang menerima pengiktirafan semasa Majlis Anugerah Sukarelawan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) di Singapore Expo.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, hadir selaku tetamu terhormat.
Dianjurkan setiap tahun sejak 2007, acara itu mengiktiraf sumbangan sukarelawan individu serta rakan masyarakat yang memainkan peranan penting dalam menyokong pemulihan dan integrasi semula banduan ke dalam masyarakat.
Ustazah Maria salah seorang daripada 116 penerima yang diiktiraf atas khidmat sukarela selama sekurang-kurangnya lima tahun.
“Apa yang mendorong saya selama lima tahun ini ialah mereka yang berada di dalam penjara itu sendiri.
“Keberadaan mereka di sana memberikan saya satu dorongan yang amat tinggi kerana sebelum ini, mereka tidak mempunyai seseorang yang dinamakan ustazah atau agamawan yang boleh datang ke dalam penjara untuk mengajar mereka,” katanya ketika ditanya mengenai keazaman beliau untuk terus berkhidmat lebih lima tahun.
Beliau berpegang teguh pada keyakinan bahawa setiap individu berhak diberi peluang kedua untuk berubah dan menjalani proses pemulihan.
Namun, ia juga bergantung pada kesediaan masyarakat untuk menerima serta membantu bekas banduan kembali menjalani kehidupan bermasyarakat.
“Setiap manusia dicipta dengan fitrah yang baik. Namun, tidak semua manusia tahu bagaimana untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Ada yang tersalah langkah kerana bergaul dengan rakan yang salah atau terpengaruh dengan anasir luar sehingga akhirnya terjerumus ke dalam kancah jenayah.
“Sebab itu, kita tidak boleh melihat mereka hanya berdasarkan kesilapan yang pernah dilakukan. Mungkin satu kesilapan itulah yang akhirnya menjadi titik perubahan untuk mereka bangkit dan menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Ustazah Maria bukan satu-satunya asatizah dalam misi tersebut.
Seramai 116 asatizah kini berkhidmat sebagai sukarelawan di penjara, terdiri daripada 18 asatizah wanita dan 98 asatizah lelaki.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding 74 asatizah pada 2022 yang memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan para banduan, kata anggota Jawatankuasa Penganjur Majlis Anugerah Sukarelawan 2026, Penolong Superintenden Penjara (ASP) Mohammed Imran Mohamed Ismail, kepada Berita Harian (BH).
Beliau menambah: “Melalui pendampingan yang berterusan, para sukarelawan keagamaan memberikan sokongan kerohanian dan emosi kepada banduan.
“Sokongan ini membantu mereka mengharungi tempoh dalam penjara, bermuhasabah tentang perjalanan hidup serta terus terdorong untuk melakukan perubahan positif.”
Bagi Ustazah Maria, yang juga memegang jawatan sepenuh masa sebagai Eksekutif Kanan di Masjid Assyakirin, pengalaman berkhidmat di masjid dan penjara saling melengkapi.
Beliau berkata: “Di masjid, saya sering bertemu bersama anggota jemaah yang berkongsi bahawa mereka mempunyai anggota keluarga yang berada di dalam penjara. Di penjara pula, saya bertemu dengan individu yang sedang menjalani hukuman.
“Daripada situ, saya dapat memahami dengan lebih mendalam kekurangan dan masalah yang dihadapi masyarakat kita. Pengalaman itu banyak membantu saya apabila mendampingi banduan kerana saya dapat melihat dari kedua-dua perspektif.”
Antara pengalaman yang paling menyentuh hati beliau ialah apabila seorang banduan mengakui sentiasa menantikan kelas agama setiap minggu kerana di situlah dia mempunyai individu seperti Ustazah Maria yang sudi mendengar tanpa menghakimi.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai akan tampil menyumbang tenaga dalam usaha membimbing para banduan dalam mencapai tujuan itu.
“Harapan saya sentiasa ada untuk mereka. Kita perlukan lebih ramai asatizah untuk bersama-sama bantu mereka dalam perjalanan ke pangkal jalan.
“Kita bukan hendak menghakimi mereka, tetapi mahu mereka tahu bahawa masih ada orang yang sudi menghulurkan tangan supaya mereka dapat kembali membina kehidupan,” ujar beliau.