Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 daripada lima hukuman penjara Iswaran dijalankan berturut-turut

Hukuman paling berat, selama 6 bulan, adalah bagi kesalahan menerima 10 tiket Bilik Hijau ke GP Singapura F1 2017
Oct 3, 2024 | 7:04 PM
Hukuman paling berat selama enam bulan dijatuhkan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, adalah bagi kesalahan menerima 10 tiket Green Room ke Grand Prix F1 Singapura 2017.
Hukuman paling berat selama enam bulan dijatuhkan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, adalah bagi kesalahan menerima 10 tiket Green Room ke Grand Prix F1 Singapura 2017. - Foto ST

Bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan, dengan tiga daripada lima hukuman dijalankan secara berturut-turut.

Hukuman paling berat, selama enam bulan, dijatuhkan bagi kesalahan menerima 10 tiket Bilik Hijau, atau Green Room, ke Grand Prix (GP) Singapura Formula Satu (F1) 2017.

Dia juga dikenakan hukuman empat bulan atas pertuduhan menghalang keadilan dengan membayar $5,700 kepada GP Singapura (SGP) bagi menampung kos tiket penerbangan kelas bisnes dari Doha ke Singapura pada 11 Disember 2022.

Iswaran telah membayar kembali kos tiket itu, bernilai $5,700, kepada GP Singapura – tindakan yang ada kecenderungan menghalang proses keadilan kerana ia mengurangkan kemungkinan tertuduh akan disiasat oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) berhubung perjalanannya ke Doha.

Di samping itu, hukuman dua bulan dijatuhkan atas kesalahan memperoleh 14 botol alkohol melalui Encik Lum Kok Seng, pengarah urusan Lum Chang Holdings, sebuah firma pengurusan hartanah, reka bentuk dalaman dan pembinaan.

Kesemua tiga hukuman akan dijalankan secara berturut-turut.

Baki hukuman penjara selama tiga bulan dan tiga minggu ke atas kesalahan mendapatkan tiket penerbangan dan penginapan hotel di Doha, dan penjara selama tiga bulan ke atas kesalahan memperoleh basikal Brompton T Line berharga kira-kira $7,907 daripada Encik Lum akan berjalan secara serentak.

Hakim Vincent Hoong, ketika merumuskan hukuman, menyatakan bahawa ketika Iswaran melakukan kesalahan dalam dakwaan keenam, iaitu kesalahan menerima 10 tiket Bilik Hijau ke GP Singapura 2017, dia bertanggungjawab sebagai menteri di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan bagi Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

“Ketika itu, tertuduh juga tahu bahawa Encik Ong (Beng Seng) prihatin dalam urus niaga antara SGP dengan STB, berkaitan dengan perihal mengetepikan bilangan tiket percuma tertentu bagi perlumbaan F1 Singapura akan diedarkan secara percuma bagi tujuan promosi.

“Tertuduh tidak memberi bayaran bagi 10 tiket Bilik Hijau. Dia juga tidak mengisytiharkan kepada pemerintah bahawa dia telah memperolehinya daripada Encik Ong,” jelas Hakim Hoong.

Sebagai menteri, Iswaran menduduki jawatan eksekutif di peringkat tertinggi.

“Ini meletakkannya dalam kedudukan memiliki pengaruh besar ke atas urus niaga yang diminati orang ramai.

“Selanjutnya, tertuduh, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu F1, menyelia F1 Singapura dan merupakan ketua perunding pemerintah dengan SGP mengenai perniagaan perkara berkaitan F1 Singapura.

“Dalam melakukan kesalahan yang dinyatakan dalam pertuduhan keenam, tertuduh telah bertindak dengan pertimbangan bahawa dia telah membuat permintaan khusus untuk barang-barang berharga itu,” rumus Hakim Hoong.

Berikutan kesalahan dalam pertuduhan yang ke-27 iaitu pertuduhan menghalang keadilan, Encik Ong telah memaklumkan kepada Iswaran bahawa CPIB telah merampas dokumen penerbangan yang termasuk penerbangan Singapura-Doha, dalam siasatannya terhadap perkara yang berasingan.

“Pada atau sekitar 25 Mei 2023, tertuduh membuat pembayaran untuk penerbangan Doha-Singapura dengan
mengeluarkan cek kepada SGP berjumlah $5,700.

“Ini adalah perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghalang laluan keadilan kerana ia mengurangkan kemungkinan tertuduh akan disiasat oleh CPIB berhubung penerbangan ke Doha,” kata Hakim Hoong.

Dalam pada itu, bagi kesalahan dalam pertuduhan ke-29 iaitu penerimaan 14 botol alkohol, Hakim Hoong berkata kebersalahan Iswaran semakin tinggi ekoran peranan kritikal yang disandangnya sebagai Menteri Pengangkutan.

“Kebersalahan tertuduh tidak boleh dipertimbangkan sebagai rendah memandangkan pengalaman dan kedudukan tertuduh sebagai menteri.

“Semasa kesalahan dilakukan, tertuduh telah menjadi menteri selama enam hingga 10 tahun.

“Dalam kedudukannya, kesalahan tertuduh adalah lebih tinggi kerana dia meletakkan dirinya dalam kedudukan yang mudah terdedah kepada pengaruh oleh faedah kewangan yang diberikan oleh orang yang mempunyai kepentingan yang berkaitan dengan pejabatnya,” kata Hakim Hoong.

Justeru, dalam mempertimbangkan hukuman sewajarnya, mahkamah akhirnya tidak dapat bersetuju dengan kedudukan kededua pihak pembela dan pendakwa.

Mahkamah berpandangan bahawa adalah wajar untuk menjatuhkan hukuman melebihi kedudukan kededua pihak.

Apabila mendengar hukuman yang dijatuhkan adalah berlebihan dan lebih lama daripada tempoh enam hingga tujuh bulan yang dirayu oleh pihak pendakwa, Iswaran menghela nafas panjang dan memandang ke arah isterinya, Cik Kay Mary Taylor, yang berada di galeri awam di bahagian belakang dewan mahkamah.

Cik Taylor, yang ditemani lima orang lain, merupakan antara yang terakhir meninggalkan dewan yang penuh itu.

Hukuman atas kesalahan yang dilakukan Iswaran:

– Penjara enam bulan atas kesalahan memperoleh 10 tiket Green Room ke Grand Prix F1 Singapura 2017 akan dijalankan secara berturut-turut.

– Penjara empat bulan atas pertuduhan menghalang keadilan dengan membayar $5,700 kepada GP Singapura (SGP) untuk menampung kos tiket penerbangan kelas perniagaannya dari Doha ke Singapura pada 11 Disember 2022 akan dijalankan secara berturut-turut.

– Penjara dua bulan atas kesalahan memperoleh 14 botol alkohol melalui Encik Lum Kok Seng, pengarah urusan Lum Chang Holdings akan dijalankan secara berturut-turut.

– Penjara selama tiga bulan dan tiga minggu ke atas kesalahan mendapat tiket penerbangan dan penginapan hotel di Doha akan dijalankan secara serentak.

– Penjara selama tiga bulan ke atas kesalahan memperoleh basikal Brompton T Line berharga kira-kira $7,907 daripada Encik Lum akan dijalankan secara serentak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg