Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 rakan promosi bahasa Melayu dengan imbau jalan kenangan

Sep 7, 2023 | 5:26 PM
MINAT PADA BAHASA DAN SENI: Tiga rakan, (dari kiri) Encik Khairuzamani Mohamed Noor, Encik  Anwar Hadi Ramli dan Saiful Amri Ahmad Elahi, berkongsi minat terhadap bahasa Melayu dan seni dan akan mengendalikan bengkel dan pertandingan penulisan sempena Bulan Bahasa.
MINAT PADA BAHASA DAN SENI: Tiga rakan, (dari kiri) Encik Khairuzamani Mohamed Noor, Encik Anwar Hadi Ramli dan Saiful Amri Ahmad Elahi, berkongsi minat terhadap bahasa Melayu dan seni dan akan mengendalikan bengkel dan pertandingan penulisan sempena Bulan Bahasa. - Foto ihsan SAIFUL AMRI AHMAD ELAHI

Tiga rakan yang berkongsi minat yang sama terhadap bahasa Melayu dan seni akan sibuk hujung minggu ini kerana mereka bakal mengendalikan bengkel dan pertandingan penulisan di The Arts House sempena Bulan Bahasa.

Usaha tiga rakan itu – Encik Saiful Amri Ahmad Elahi, 45 tahun; Encik Anwar Hadi Ramli, 43 tahun; dan Encik Khairuzamani Md Noor, 44 tahun – disokong oleh The Arts House dan Pristine Print.

Acara ‘Sekeping Gambar Seribu Kata’ pada Sabtu dan Ahad ini diadakan untuk meraih dan mencungkil minat terhadap bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura.

Mereka menggunakan pendekatan unik – melalui penggunaan elemen berbeza seperti pameran fotografi harta pusaka dan warisan Melayu – dalam bengkel itu.

Pameran fotografi diadakan pada kedua-dua hari, dari 12 tengah hari hingga 9 malam di Galeri II, The Arts House, mengetengahkan karya fotografi Encik Anwar, seorang penggerak seni teater/penulis, tentang tempat-tempat yang sudah tiada di Singapura, seperti Geylang Serai (pasar dan bazar) lama, perkampungan Melayu, Stadium Kallang, Stesen Kereta api Tanjong Pagar dan sebagainya. Ia bertujuan menjemput pengunjung mengimbau kenangan tempat-tempat lama.

Di antara dinding-dinding pameran, Encik Anwar akan mengadakan siri bengkel penulisan kreatif bertemakan kenangan tempat atau perkara-perkara yang sudah tiada lagi. Para peserta dapat mempelajari seni menulis puisi, pantun, monolog, prosa, madah dan sebagainya, sekali gus mencipta karya sastera sendiri.

Encik Saiful, penerbit kreatif acara Seni, Budaya dan Warisan, berkata bengkel di tengah-tengah pameran itu mengajak para peserta meraih ilham dan inspirasi daripada gambar-gambar di sekeliling mereka.

“Keunikan pendekatan ini adalah ia membenarkan para peserta merangkumkan kenangan yang diraih melalui kata-kata,” jelasnya.

Bengkel dan pertandingan penulisan dibuka kepada semua peringkat umur, dengan harapan dapat menggalakkan lebih ramai orang dapat menulis dan berfikir dalam bahasa Melayu.

Acara ‘Sekeping Gambar Seribu Kata’ akan ditutup dengan sesi ‘Open Mic’ pada Ahad, untuk peserta berkongsi karya mereka dengan khalayak ramai dan pengunjung pameran.

“Acara ini sebagai satu peluang untuk orang ramai mengenali identiti mereka sebagai orang Melayu. Usaha tiga rakan ini tertumpu pada mempromosikan bahasa Melayu melalui kenangan.

“Saya harap mereka yang menyertai dapat mempelajari cara penulisan dan meningkatkan bahasa Melayu serta kosa kata melalui imbauan kenangan-kenangan lama dan mengingatkan kita untuk tidak berasa takut dengan bahasa,” kata Encik Saiful.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg