Topik diikuti
Pergi ke BHku3 stesen MRT baru dibuka 26 Dis
Buka laluan terus ke JB bagi penduduk timur
3 stesen MRT baru dibuka 26 Dis
Stesen Xilin di Laluan Downtown (DTL) dan dua stesen terakhir bagi Laluan Thomson-East Coast (TEL) – merangkumi stesen Bedok South dan Sungei Bedok – akan mula beroperasi pada 26 Disember.
Stesen Sungei Bedok, yang terletak di penghujung TEL, turut berfungsi sebagai stesen pertukaran dengan DTL, umum Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 4 November.
“Stesen baharu ini akan menggabungkan dua koridor utama kereta api dan menawarkan laluan baharu dan perjalanan lebih pantas buat penumpang di kawasan timur.
“Malah, penduduk di kawasan timur bakal menikmati kemudahan menaiki TEL secara terus ke pusat bandar, menuju ke Woodlands di utara dan tidak lama lagi dapat menyeberangi selat ke Malaysia,” katanya.
Penumpang akan dapat menaiki kereta api di stesen Woodlands North menuju ke stesen Bukit Chagar di Johor apabila Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura mula beroperasi pada Februari 2027.
Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan Minggu Mobiliti Bandar Singapura yang berlangsung dari 4 hingga 6 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore.
Acara tiga hari itu menghimpunkan seramai 8,000 penggubal dasar, pengendali pengangkutan serta peneraju industri dari lebih 50 negara.
Dalam satu kenyataan pada 4 November, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memaklumkan stesen baharu itu akan meningkatkan akses ke hab pekerjaan di kawasan timur, seperti Taman Perniagaan Changi dan Pusat Serantau Tampines.
Stesen berkenaan, tambahnya, bakal menawarkan perjalanan lebih pantas dan mudah bagi mereka yang tinggal serta bekerja di sepanjang koridor East Coast.
Contohnya, perjalanan dari Havelock ke Taman Perniagaan Changi pada masa ini mengambil masa kira-kira 70 minit dan memerlukan pertukaran bas.
Dengan pembukaan stesen baharu, perjalanan hanya akan mengambil masa 45 minit tanpa perlu menukar bas.
Encik Siow berkata rangkaian MRT merupakan ‘tulang belakang’ sistem pengangkutan darat Singapura, dan pemerintah menyasarkan untuk memastikan perkhidmatan kereta api kekal sebagai “pilihan paling mudah digunakan” bagi penumpang.
Selain pembangunan prasarana jangka panjang – termasuk Laluan Daerah Jurong (JRL) dan Laluan Rentas Pulau (CRL) akan datang, serta perancangan Laluan Seletar dan Tengah – Encik Siow menegaskan bahawa usaha mengurus permintaan perjalanan juga sama penting.
Beliau memberi contoh pengenalan semula skim perjalanan kereta api percuma di luar waktu sibuk pagi bagi mereka yang menaiki MRT di stesen tertentu di sepanjang Laluan North East (NEL) serta LRT Sengkang-Punggol (SPLRT).
Menurutnya, sistem tiket berasakan akaun yang digunakan membolehkan faedah disasarkan secara lebih khusus mengikut keperluan penumpang.
Penumpang yang boleh menyesuaikan waktu perjalanan bakal meraih manfaat terbesar dari segi penjimatan, manakala mereka yang terikat dengan jadual tetap mendapat manfaat daripada skim ini berikutan kereta api yang kurang sesak pada waktu sibuk.
Selain sistem MRT, Encik Siow turut menyentuh tentang rancangan peralihan bas awam kepada kenderaan elektrik.
Menjelang 2030, Singapura menyasarkan penggunaan lebih 3,000 bas awam elektrik, dengan bilangannya akan terus bertambah pada masa akan datang, dedah Encik Siow.
Pada penghujung 2026, LTA akan melancarkan 660 bas elektrik baharu yang dihasilkan oleh empat syarikat dari China secara berperingkat.
Kumpulan bas terbaharu ini turut dilengkapi ciri-ciri yang ditambah baik berdasarkan maklum balas penumpang, pemandu bas serta pengendali pengangkutan awam.