Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

30 pelajar Sekolah AWWA@Bedok ‘terbang’ bersama SGX Cares

Sep 19, 2024 | 7:42 PM
Sekitar 30 pelajar berkeperluan khas daripada Sekolah AWWA@Bedok menerima pengalaman unik semasa Program ‘Flight & Flying’, yang dimulakan oleh mantan juruterbang dan pendidik penerbangan, Encik Cyrano Latiff (barisan belakang, paling kiri), di Politeknik Temasek (TP), yang dihoskan oleh sukarelawan SGX dan pelajar daripada Diploma Pengurusan Penerbangan TP pada 19 September.
Sekitar 30 pelajar berkeperluan khas daripada Sekolah AWWA@Bedok menerima pengalaman unik semasa Program ‘Flight & Flying’, yang dimulakan oleh mantan juruterbang dan pendidik penerbangan, Encik Cyrano Latiff (barisan belakang, paling kiri), di Politeknik Temasek (TP), yang dihoskan oleh sukarelawan SGX dan pelajar daripada Diploma Pengurusan Penerbangan TP pada 19 September. - Foto SGX

Hampir 30 pelajar yang mengalami autisme daripada Sekolah AWWA @ Bedok berpeluang ‘terbang’ dalam simulator penerbangan dan mendekati sebuah jet privet jenis Hawker 700A pada pagi 19 September sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bursa Singapura (SGX), SGX Cares.

Diadakan dengan kerjasama Program Flight & Flying ,yang dimulakan oleh mantan juruterbang dan pendidik penerbangan, Encik Cyrano Latiff, kumpulan pelajar berkeperluan khas berusia 7 hingga 14 tahun itu dihoskan oleh 12 sukarelawan SGX dan sekitar 20 pelajar Diploma Pengurusan Penerbangan Politeknik Temasek (TP).

Encik Cyrano memulakan program penerbangan itu sejak 2008, dengan tujuan memperkenalkan dan mendedahkan kanak-kanak kepada bidang penerbangan dengan cara yang menyeronokkan.

Ia juga bagi memberi peluang kepada orang ramai mendekati pesawat dan duduk di dalam kokpit, tidak kira usia atau kemampuan.

“Saya amat gembira apabila mendapat tahu kanak-kanak itu berasa seronok dan dapat mempelajari sesuatu mengenai bidang penerbangan,” kata Encik Cyrano.

Menurut beliau, kanak-kanak yang mengikuti program di TP itu, antara lain, diperkenalkan kepada permainan dan peluang ‘menerbangkan’ pesawat dalam simulator penerbangan.

Ia diakhiri dengan peluang mendekati jet privet Hawker 700A.

“SGX Cares telah menyediakan wadah untuk turut melibatkan pelajar sukarelawan daripada Diploma Pengurusan Penerbangan di Politeknik Temasek untuk mengambil bahagian dalam kegiatan bermakna ini bersama kanak-kanak daripada Sekolah AWWA@Bedok, untuk sama-sama menyentuh minda dan hati kanak-kanak,” tambah Encik Cyrano.

Dilancarkan pada 2004, SGX Cares merupakan satu-satunya inisiatif amal korporat di Singapura yang menggabungkan masyarakat kewangan dan syarikat yang tersenarai di bawah SGX bagi menyokong keperluan kanak-kanak dan keluarga yang kurang bernasib baik, orang kurang upaya, serta warga tua.

Lebih $50 juta telah dikumpul dalam tempoh dua dekad untuk lebih 50 badan amal melalui sokongan penaja korporat dan rakan kongsi.

“Kami berhasrat menyediakan pengalaman pendidikan yang holistik bagi para pelajar yang mempunyai kebolehan yang berbeza supaya mereka boleh berkembang maju serta dibesarkan dengan baik semasa di sekolah dan dalam lingkungan masyarakat yang lebih besar.

“Sebagai pendidik, saya berasa amat terharu melihat penyertaan aktif para pelajar sambil menikmati simulator penerbangan yang merupakan antara kegiatan kegemaran mereka hari ini,” kata Cik Pauline Cheng, ketua program di Sekolah AWWA@Bedok.

Salah seorang sukarelawan, Cik Geraldine Tan, pengarah pengurusan bagi Jabatan Audit Dalaman Kumpulan SGX, pula menambah:

“Melihat mata kanak-kanak itu bersinar apabila mereka menghampiri pesawat merupakan satu detik yang tidak ternilai harganya bagi saya.”

Ini kali pertama SGX Cares mengadakan program serupa, dan ia merancang mengadakannya lagi pada masa akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg