Suami kepada Profesor Madya Emeritus Dr Hadijah Rahmat, Allahyarham Hajis Salim, telah meninggal dunia.

Berita Harian (BH) difahamkan bahawa Allahyarham meninggal dunia sekitar 3 pagi pada 23 Julai, dan telah menghubungi keluarga Allahyarham bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Berita pemergian Allahyarham dikongsi dan disahkan oleh beberapa rakan dalam kalangan sasterawan dan pendidik yang mengenalinya.

Mereka turut menzahirkan ucapan takziah serta mengenang jasa dan keperibadiannya.

Penulis veteran dan mantan wartawan BH, Encik Mohd Raman Daud, mengesahkan bahawa jenazah Allahyarham selamat dikebumikan sebelum solat zuhur pada 23 Julai.

Encik Mohd Raman berkata Allahyarham yang dilahirkan pada 1948, merupakan guru Bahasa Melayu yang berpengalaman.

“Allahyarham merupakan pendamping utama Profesor Hadijah dalam banyak kembara ilmunya,” kata beliau kepada BH.

Dr Hadijah merupakan antara tokoh bahasa dan sastera Melayu yang disegani di Singapura dan penerima Anugerah Jauhari BH pada 2022 atas sumbangan besarnya dalam bidang bahasa, sastera dan pendidikan Melayu.

Menurut Encik Mohd Raman juga, pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata.

Sementara itu, pensyarah dan tokoh pendidikan Melayu, Dr Sa’eda Buang, menyifatkan Allahyarham sebagai tulang belakang yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada Profesor Hadijah, baik dalam bidang pendidikan mahupun persuratan.

“(Beliau) sentiasa bersama isteri tercinta di mana-mana persidangan bukan sebagai teman yang pasif tetapi sebagai pemikir dan penyumbang idea yang bernas mengenai isu-isu yang diperkatakan.

“Sebagai seorang guru, beliau adalah sosok kukuh dan kritis dalam membina pemikiran para pelajar agar lebih terbuka dan bersedia mencintai bahasa dan persuratan Melayu.

“Allahyarham membuktikan pegangan hidupnya sebagai pelajar sepanjang hayat dengan mendaki tangga pengajian di peringkat sarjana di United Kingdom walaupun di penghujung era perguruannya.

“Itulah di antara contoh semangat waja yang dititipkan kepada para pelajarnya. Semoga Allah menempatkan Allahyarham di syurga tertinggi bersama para syuhada,” kata Dr Sa’eda.