Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Tak pernah gaduh, saling melengkapi’: Pasangan bahagia walau jarak usia 37 tahun
‘Tak pernah gaduh, saling melengkapi’: Pasangan bahagia walau jarak usia 37 tahun
‘Tak pernah gaduh, saling melengkapi’: Pasangan bahagia walau jarak usia 37 tahun
Tatkala Cik Norlida Mohamed Salleh mendirikan rumah tangga bersama Encik Muhd Sabree Razaman enam tahun yang lalu, jurang usia 37 tahun antara mereka mengundang soalan serta kritikan daripada orang di sekeliling.
Biarpun begitu, Cik Norlida, 64 tahun, dan Encik Sabree, 27 tahun, membuktikan bahawa usia bukan penghalang bagi mereka mencapai kebahagiaan dalam rumah tangga.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Norlida, yang pernah berkahwin dua kali sebelum ini dan merupakan ibu enam anak berkongsi bahawa anak-anaknya akhirnya menerima pilihan beliau.
Beliau bagaimanapun akui bahawa keluarga Encik Sabree pada mulanya sukar merestui hubungan mereka.
Namun, pasangan yang menetap di Jelebu, Negeri Sembilan itu berkata perkahwinan mereka terus utuh hasil komunikasi yang konsisten dan keyakinan bahawa jodoh mereka telah ditentukan oleh Allah.
“Memang pada awalnya mereka ragu dengan keputusan saya. Maklumlah umur saya pun sudah meningkat jadi mereka mungkin beranggapan ada niat yang tidak baik apabila suami berusia jauh lebih muda,” kata Cik Norlida.
Namun, beliau menegaskan bahawa beliau memilih Encik Sabree disebabkan keikhlasan dan keperibadian suaminya yang matang, meskipun usianya apabila mereka mula berkenalan baru 19 tahun.
“Saya menerima beliau kerana saya melihat beliau seorang yang matang. Cara beliau bercakap dan tingkah lakunya membuatkan saya yakin,” katanya yang kini membuat muruku bagi membantu perniagaan anaknya.
Cik Norlida bernikah dengan Encik Sabree pada September 2020, ketika beliau berusia 58 tahun dan Encik Sabree berusia 21 tahun.
Pasangan itu mula berkenalan ketika tinggal di kawasan perumahan yang sama, apabila Encik Sabree sering menjadi pelanggan di kedai runcit tempat Cik Norlida bekerja.
“Kami sudah lama berkenalan sebab memang duduk setaman, tapi mula mengenal hati budi masing-masing dua tahun sebelum bernikah,” kata Cik Norlida yang sering bertegur sapa dengan Encik Sabree ketika beliau bekerja di kedai minimarket bekas suami keduanya.
Ini merupakan perkahwinan ketiga Cik Norlida dan beliau mempunyai enam orang anak berusia antara 26 tahun dengan 40 tahun.
Apabila ditanya mengenai hubungan dengan anak-anak tiri dan cucu-cucu tirinya, Encik Sabree, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata beliau melayan mereka seperti rakan agar hubungan lebih mudah terjalin.
Kini, selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, pasangan itu berkata kehidupan mereka semakin harmoni dengan hubungan yang berasaskan komunikasi dan saling memahami.
Mereka juga lebih dikenali dengan panggilan mesra ‘Mama’ bagi Cik Norlida dan ‘Abie’ bagi Encik Sabree, yang mencerminkan keakraban hubungan kekeluargaan mereka.
“Alhamdullilah rakan-rakan yang lain turut menyokong hubungan ini. Ramai yang hormat kepada Sabree kerana dapat lihat kejujurannya dalam menjaga dan melayan saya.
“Anak-anak pula terutamanya yang kelima akan sentiasa mengaturkan sambutan untuk raikan hari perkahwinan ataupun sambutan hari lahir kami,” katanya.
Secara keseluruhannya, pasangan itu melihat satu sama lain sebagai pelengkap hidup.
Sementara Cik Norlida menganggap suaminya sebagai seorang yang matang, penyabar dan berusaha keras dalam hubungan mereka, Encik Sabree pula melihat Cik Norlida sebagai wanita yang tegas tetapi penyayang, yang banyak membimbingnya dalam kehidupan.
“Selama enam tahun ini, kami tidak pernah bergaduh dan dalam tempoh yang sama, beliau (Encik Sabree) tidak pernah gagal menghantar pesanan ringkas untuk mengingatkan saya untuk makan, solat dan berehat kerana beliau tahu saya semakin berusia,” tambah Cik Norlida.
Pasangan itu turut berkongsi bahawa kunci keharmonian rumah tangga mereka bukan terletak pada usia, tetapi pada sikap saling menghormati, kejujuran dan kesediaan untuk memahami antara satu sama lain.
Mereka menegaskan bahawa perkahwinan yang bahagia dibina melalui kesabaran, komunikasi yang baik serta sokongan berterusan dalam kehidupan seharian.
