Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

32 estet privet S’pura akan dinaik taraf dalam 5 tahun mendatang

Feb 9, 2025 | 1:42 PM
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan rancangan kerja naik taraf 32 estet perumahan privet di bawah Program Peningkatan Estet (EUP), di acara akar umbi di Balai Rakyat West Coast, pada 8 Februari.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan rancangan kerja naik taraf 32 estet perumahan privet di bawah Program Peningkatan Estet (EUP), di acara akar umbi di Balai Rakyat West Coast, pada 8 Februari. - Foto ZAOBAO

Penduduk di 32 estet perumahan privet di Singapura bakal menikmati kemudahan baru atau yang dipertingkatkan – seperti ruang rekreasi baru, tanjakan mesra kerusi roda, dan penanda estet tambahan – yang akan dibina dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antara 32 estet ini, tujuh daripadanya yang mempunyai kadar warga emas lebih tinggi, akan dinaik taraf dengan kemudahan mesra warga emas seperti ciri-ciri penunjuk arah, taman masyarakat, serta kemudahan untuk program penuaan aktif, seperti pavilion dan sudut kecergasan.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, mengumumkan pada 8 Februari tentang rancangan kerja naik taraf itu, yang akan dilaksanakan di bawah Program Peningkatan Estet (EUP), dengan kos keseluruhan $135 juta ditanggung Pemerintah.

EUP bermula pada 2000 untuk membangun dan menaik taraf infrastruktur di estet privet menua, yang tidak menerima geran daripada majlis bandaran mahupun Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), lapor The Straits Times (ST).

Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 8 Februari berkata, rancangan naik taraf dengan ciri tambahan untuk tujuh estet yang mempunyai lebih ramai warga emas, adalah sebahagian daripada program EUP (Estet Perak).

Naik taraf ini akan menelan belanja sebanyak $11 juta dan melibatkan lebih daripada 3,700 isi rumah, di Fengshan; Hillview; Hong Leong Gardens dan Pasir Panjang; MacPherson Gardens; Mayfair Park; Teachers’ Housing; serta Thomson dan Yew Lian Park.

Siri naik taraf terbaru ini adalah sebahagian daripada “usaha besar dan bersama untuk mempersiapkan estet privet kita... bagi masyarakat yang semakin menua,” kata Encik Lee di acara akar umbi di Balai Rakyat West Coast pada 8 Februari.

“Kami ingin menyegarkan dan menghidupkan semula kejiranan kita – untuk mempertingkatkan infrastruktur, memasang ciri-ciri baru, dan mereka bentuk ruang yang memenuhi keperluan ibu bapa dan datuk nenek kita,” tambahnya.

25 estet selebihnya akan menjalani kerja naik taraf di bawah program EUP biasa, yang akan menelan belanja $124 juta dan melibatkan lebih daripada 16,600 isi rumah, antaranya di kawasan Telok Kurau, Thomson, Towner Ville, Balmoral, dan Dunearn.

Mengulas tentang kerja naik taraf di bawah progam EUP, Encik Lee berkata:

“Kami boleh mempromosikan penuaan aktif dan ikatan masyarakat dengan lebih baik melalui kerja menaik taraf taman kejiranan dengan ciri seperti taman permainan tiga-generasi, sudut kecergasan, dan taman masyarakat, yang akan memberi manfaat kepada kededua penduduk tua dan muda.”

Encik Lee berkata Pemerintah akan bekerjasama rapat dengan pasukan projek EUP dan masyarakat untuk memastikan penambahbaikan itu praktikal dan bermanfaat buat penduduk.

Sejak EUP dilancarkan pada 2000, sekitar $216 juta telah dibelanjakan untuk menaik taraf 74 estet privet dalam 10 siri projek tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg