Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10 Laluan Mesra pejalan kaki dijangka siap jelang 2026

Diperluaskan ke semua bandar, di kawasan beraktiviti tinggi berhampiran kemudahan utama jelang 2030
Jan 14, 2025 | 6:04 PM
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor (kanan), dirakam bersama Rakan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang menyokong inisiatif Laluan Mesra di One Holland Village pada 14 Januari.
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor (kanan), dirakam bersama Rakan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang menyokong inisiatif Laluan Mesra di One Holland Village pada 14 Januari. - Foto FACEBOOK AMY KHOR

Kerja-kerja prasarana bagi 10 Laluan Mesra baru di Bedok, Buangkok, Bukit Panjang, Choa Chu Kang, Holland/Buona Vista, Jurong East, Pek Kio, Punggol, Sembawang dan Tiong Bahru/Havelock akan dimulakan secara berperingkat mulai separuh pertama 2025 dan dijangka siap menjelang 2026.

Diumumkan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, di pusat beli-belah One Holland Village pada 14 Januari, Laluan Mesra bertujuan menjadikan berjalan kaki ke kemudahan utama di kawasan kejiranan lebih selamat.

Ini selain membuatnya inklusif dan mudah dengan ciri-ciri seperti lintasan zebra yang dinaikkan dan lintasan pejalan kaki tanpa halangan.

Ia memperluaskan usaha sedia ada seperti Zon Perak, Zon Sekolah dan projek pengubahsuaian jalan.

Dalam ucapannya, Dr Khor berkata menjelang 2030, Laluan Mesra tersebut akan diperluaskan ke semua bandar, dan akan terletak di kawasan beraktiviti tinggi serta berhampiran kemudahan utama.

“Ini akan memberi manfaat kepada semua penduduk di kawasan kejiranan, termasuk kawasan perumahan swasta.

“Sebagai contoh, antara 10 Laluan Mesra yang akan datang, Pek Kio dan Havelock juga terletak berhampiran kawasan perumahan swasta, dan ciri-ciri baru itu dapat dinikmati oleh semua pejalan kaki dan penunggang basikal yang melawat kemudahan-kemudahan berhampiran,” ujar Dr Khor.

Pertama kali dilancarkan pada 2023, inisiatif Laluan Mesra terdorong daripada perbincangan ForwardSG, yang mana rakyat Singapura mencadangkan untuk meningkatkan pengalaman pejalan kaki di Singapura.

Empat projek perintis di Ang Mo Kio, Bukit Batok West, Toa Payoh dan West Coast, yang diumumkan pada 2023 telah selesai, manakala projek perintis di Tampines dijangka siap menjelang Mac 2025, kongsi Dr Khor.

Menurut kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 14 Januari, bonggol jalan baru dan pembahagi tengah yang lebih luas di sepanjang Holland Avenue dan Holland Drive akan memperlahankan lalu lintas.

Ia bakal menjadikannya lebih selamat, terutamanya bagi warga emas untuk ke pasar, kedai makan, Kelab Masyarakat Buona Vista, dan stesen MRT Holland Village dan Buona Vista.

LTA menambah, jalan mesra di Bukit Panjang akan menampilkan lintasan tanpa jalan tambahan untuk memudahkan lintasan tanpa halangan, serta bonggol jalan dan tanda hijau untuk memperlahankan lalu lintas.

Untuk menjadikannya lebih selamat bagi penduduk Pek Kio menyeberang jalan, LTA akan melaksanakan lintasan pejalan kaki bertanda yang dinaikkan di Owen Road, lintasan zebra yang dinaikkan, lintasan tanpa halangan dan pembahagi tengah.

Ia akan memberi manfaat kepada penduduk sedia ada di kawasan kejiranan dan bakal penduduk dan keluarga muda di flat perumahan awam yang akan dibina di Owen Road.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penasihat akar umbi, pemimpin akar umbi, wakil masyarakat, dan pegawai dari Persatuan Rakyat (PA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Majlis Bandaran atas sokongan dan kerja keras anda untuk bersama-sama mencipta skim jalan mesra dengan pasukan kami,” kata Dr Khor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg