Seramai 32 pengayuh basikal didenda kerana melanggar peraturan saiz kumpulan berbasikal di jalan raya pada 28 Julai dan 4 Ogos.
Mereka ditangkap semasa operasi penguatkuasaan oleh pegawai Polis Trafik (TP) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), kata dua pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan bersama pada 13 Ogos.
Menurut kenyataan tersebut, had saiz kumpulan berbasikal ialah sepanjang lima basikal.
Ini bermakna hanya lima pengayuh basikal boleh menunggang sederet, atau 10 pengayuh basikal dibenarkan menunggang dalam dua deretan di jalan raya yang mempunyai lebih satu lorong.
Semasa operasi penguatkuasaan itu, pegawai TP dan LTA turut menjalankan usaha pendidikan bagi meningkatkan kesedaran mengenai peraturan dan garis panduan menunggang basikal.
Pengayuh basikal yang didapati bersalah melanggar peraturan saiz kumpulan berbasikal boleh didenda $150, tambah kenyataan itu.
“Jumlah denda kompaun yang lebih tinggi ini dinaikkan berkuat kuasa 1 Januari 2022 untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan dikenakan ke atas mereka yang melanggar peraturan menunggang basikal sedia ada yang lain.
“Ini termasuk tidak berhenti di lampu isyarat merah, menunggang basikal di lebuh raya, dan menunggang basikal berdampingan di sepanjang jalan raya satu lorong atau di dalam lorong bas semasa waktu operasi lorong bas,” tambah kenyataan itu.
Polis mengingatkan semua pengayuh basikal supaya mematuhi peraturan dan garis panduan menunggang basikal demi keselamatan mereka, serta memastikan jalan raya selamat untuk semua.
Peraturan dan garis panduan itu termasuk menunggang sederet di jalan yang mempunyai satu lorong, serta semasa waktu operasi lorong bas, menghidupkan lampu putih di depan dan merah di belakang dalam gelap, serta memakai topi keledar semasa berbasikal di jalan raya.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 13 Ogos, LTA turut berkata, ia mengesan 77 kesalahan yang dilakukan oleh pengguna mobiliti aktif di lokasi seperti Bedok, Robinson Road, Sengkang, Tampines dan Woodlands sejak awal Julai.
Kesalahan itu, yang antara lain melibatkan alat mobiliti peribadi dan basikal guna kuasa (PAB), termasuk menunggang alat yang tidak dibenarkan, menggunakan alat di laluan salah dan menyimpan PAB yang tidak mematuhi peraturan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg