Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) merampas 10 basikal guna kuasa (PAB) dan basikal tanpa brek dalam operasi penguatkuasaan pada 24 Mei.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), LTA menyatakan operasi tersebut dijalankan di Ang Mo Kio Hub, Waterway Point dan Seletar Mall.
LTA menambah, antara kesalahan yang dilakukan penunggang termasuk menunggang PAB di laluan pejalan kaki, menunggang dan memiliki PAB yang tidak berdaftar dan kegagalan memasang plat nombor pendaftaran.
“LTA menjalankan operasi harian serata pulau bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap pengguna alat mobiliti aktif yang ingkar dan mendidik mereka tentang peraturan dan garis panduan alat mobiliti, “kata jurucakap itu, sambil menambah mereka yang melanggar peraturan akan menerima padahnya.
LTA mengingatkan pengguna alat mobiliti aktif supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan untuk memastikan keselamatan semua orang.
“Ini termasuk menunggang alat mobiliti mereka dengan selamat di laluan atau jalan raya yang dikhususkan, kekal dalam had laju dan memastikan alat mereka mematuhi keperluan kami,” kata jurucakap itu lagi.
Sekitar 5,228 kesalahan mobiliti aktif yang dicatatkan pada 2023. Ini merupakan kemerosotan sekitar 35 peratus dari 8,014 kesalahan pada 2021, dan kemerosotan 25 peratus daripada 6,996 yang dicatatkan pada 2022, menurut data LTA.
Tiga kesalahan utama adalah menunggang basikal elektrik atau alat mobiliti peribadi bermotor di laluan pejalan kaki, menggunakan alat mobiliti aktif yang tidak mematuhi peraturan di laluan awam, dan menunggang basikal elektrik atau e-skuter tanpa sijil ujian teori yang diwajibkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg