Seramai 33 wanita ditahan atas kesalahan di bawah Piagam Wanita 1961 dan Akta Pengambilan Tenaga Kerja Warga Asing, kata Superintenden (Supt) Lim Hao Jun, Ketua Cawangan Jenayah Khusus Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Pasukan Polis Singapura (SPF), dalam satu serbuan ke atas sebuah kedai kopi di Lorong 29 Geylang.
Wanita itu dipercayai berada di premis tersebut untuk mencari pelanggan dan menawarkan khidmat seksual.
Mereka dan pengunjung lain yang sedang menikmati makan malam terkejut apabila premis itu diserbu pegawai daripada CID, Divisyen Polis Bedok, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Sesetengah pengunjung kelihatan agak keliru dengan makan malam mereka terganggu.
Demikian dilihat wartawan Berita Harian (BH) yang menyertai serbuan tersebut pada 7 Oktober dari 9.40 malam hingga sekitar 11.40 malam.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan SPF pada 9 Oktober, SPF berkata: “Polis telah menahan 33 orang berusia antara 21 dengan 54 tahun, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan maksiat dan kesalahan berkaitan pekerjaan haram di premis komersial di sekitar Lorong 29 Geylang.”
Wanita-wanita itu disyaki bekerja tanpa pas kerja yang sah dan menguruskan premis tersebut untuk aktiviti maksiat.
Di tempat kejadian, sebilangan besar pegawai dari pelbagai agensi itu dilihat menyoal siasat dan mengesahkan visa serta pas wanita-wanita itu. Telefon bimbit, pasport, visa dan permit kerja mereka dirampas.
Beberapa pengunjung yang bersama wanita-wanita tersebut diminta supaya mengesahkan identiti wanita itu serta menjelaskan hubungan mereka dengan wanita-wanita berkenaan.
Tiga daripada 33 wanita itu turut dikenakan tindakan di bawah kesalahan berkaitan perjudian.
BH difahamkan wanita-wanita itu dipercayai tiba di premis tersebut sekitar 30 minit sebelum serbuan dilakukan.
Kesemua 33 wanita yang dipercayai warga Vietnam itu diberkas untuk siasatan lanjut.
Pada masa yang sama, para pegawai turut menemui kegiatan loteri haram yang disyaki dijalankan tiga lagi orang berusia antara 31 tahun dengan 59 tahun.
Wang tunai berjumlah lebih $140 dan peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian turut dirampas, tambah SPF.
Seorang lelaki berusia 66 tahun, yang memiliki lesen menjual arak, turut ditahan atas kesalahan membekalkan arak di luar premis yang dibenarkan.
Siasatan ke atas mereka sedang dijalankan.
“Polis akan terus bekerjasama dengan agensi pemerintah lain untuk membanteras kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan itu. Pesalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” tambah Supt Lim.
Pihak media difahamkan bahawa polis telah menerima maklumat daripada sumber luar mengenai kegiatan tersebut.
Mereka yang didapati bersalah atas kesalahan berkaitan maksiat di bawah Piagam Wanita boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, didenda tidak melebihi $100,000 atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun, didenda tidak melebihi $150,000 atau kedua-duanya.
Mereka yang tidak memiliki pas kerja yang sah boleh dikenakan denda tidak melebihi $20,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan menjalankan kegiatan perjudian secara haram, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebih $500,000 dan dipenjara tidak melebihi tujuh tahun.
Pemegang lesen minuman keras yang membekalkan minuman keras di luar premis yang dibenarkan boleh dikenakan denda tidak melebihi $10,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg